PalestinSemasa

Perkhidmatan Konsular AS di Penempatan Haram: Langkah Awal Pengilhakan Tebing Barat?

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baitulmaqdis mencetuskan kontroversi diplomatik apabila mengumumkan akan menyediakan perkhidmatan pasport dan konsular di dalam penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah AS menawarkan perkhidmatan rasmi kerajaan di dalam wilayah penempatan haram tersebut, bermula dengan penempatan Efrat dan disusuli oleh Beitar Illit. Sebelum ini, semua perkhidmatan konsular untuk warga AS di Tebing Barat hanya ditawarkan di bandar-bandar Palestin seperti Ramallah.

“Preseden Berbahaya”

Walaupun jurucakap kedutaan menegaskan langkah ini hanyalah usaha untuk menjangkau semua warga Amerika dan bukan perubahan dasar, pemerhati politik dan pakar undang-undang antarabangsa melihatnya sebagai isyarat pengiktirafan de facto terhadap kawalan Israel ke atas wilayah yang diduduki.

Kumpulan Hamas mengecam keras tindakan tersebut dengan menyifatkannya sebagai “preseden berbahaya” yang mengesahkan kesahihan penempatan haram. Senada dengan itu, Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok Palestin menyifatkan keputusan itu sebagai pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa yang secara terang-terangan memihak kepada kuasa pendudukan.

Mengaburkan Sempadan Kedaulatan

Peguam hak asasi manusia Israel, Michael Sfard, menyatakan bahawa langkah ini tidak boleh ditafsirkan selain daripada kenyataan politik untuk mengesahkan penempatan Israel. Efrat, yang menjadi lokasi pertama perkhidmatan ini, merupakan kawasan perumahan kecil yang penduduknya lazimnya mendapatkan perkhidmatan di Baitulmaqdis.

Rakyat Palestin telah lama memperjuangkan Tebing Barat, Gaza, dan Baitulmaqdis Timur sebagai asas negara merdeka pada masa hadapan. Namun, tindakan terbaharu ini dilihat mengukuhkan lagi penguasaan Israel, apatah lagi selepas kabinet sayap kanan Benjamin Netanyahu meluluskan langkah yang memudahkan perampasan tanah Palestin oleh peneroka haram baru-baru ini.

Tekanan Pentadbiran Trump

Walaupun Presiden Donald Trump menyatakan beliau menentang pengilhakan (annexation) secara rasmi, data menunjukkan aktiviti penempatan haram meningkat mendadak sejak beliau memegang jawatan tahun lepas. Dianggarkan puluhan ribu warga Amerika-Israel menetap di penempatan tersebut, yang dikelilingi pagar dan dikawal ketat oleh tentera Israel.

Kementerian Luar Israel menyambut baik langkah itu dengan menggelarnya sebagai “keputusan bersejarah,” sekali gus mengukuhkan lagi kebimbangan masyarakat antarabangsa bahawa prospek penyelesaian dua negara semakin malap.

(Sumber: TRT World / Agensi)

Related Articles

Back to top button