Semasa

Pesawat TUDM terhempas, seorang maut

KUALA LUMPUR: Seorang maut manakala seorang lagi cedera dalam insiden pesawat Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, malam tadi.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan TUDM, pihaknya mengesahkan status juruterbang yang terlibat dalam insiden yang berlaku pada jam 10:07 malam ketika sedang menjalankan latihan penerbangan (Night Flying).

Dua juruterbang yang dikenal pasti terlibat ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy dan Mejar Mohd Fareez Omar.

Mohamad Affendi meninggal dunia dalam nahas itu, manakala Mohd Fareez cedera, berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Menurut saksi kejadian, Peniaga, Mastura Mohammad Nordin, 44, bunyi deruan pesawat yang luar biasa serta dentuman yang kuat mengejutkan penduduk di sekitar kawasan pangkalan udara tersebut.

Mastura berkata, bunyi berkenaan membuatkan dia meluru melihat apa yang berlaku di landasan Pangkalan TUDM yang tidak jauh dari gerainya di Kampung Benggali, Sungai Puyu.

“Saya memang dah biasa dengan bunyi pesawat tetapi kali ini memang lain.

“Ketika ia hampir mendarat saya dengar dua dentuman sangat kuat sebelum melihat api marak ketika pesawat itu terhempas,” katanya pada berita tempatan.

Terdahulu, merujuk ciapan Twitter Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, beliau menerima berita kejadian daripada Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

“Baru terima panggilan daripada Panglima @tudm_rasmi Jeneral Tan Sri Ackbal memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 terhempas di Butterworth (malam) tadi.

“Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera. TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian,” katanya.

Dalam pada masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa.

“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan seorang lagi yang cedera. Amat sedih dan dukacita terima berita ini.” katanya.

Sementara itu, TUDM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada jam 11:23 malam semalam, memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan segera dan akan memberitahu perkembangan semasa berhubung insiden kejadian.

“Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau sebarang berita yang tidak sahih,” katanya.

Berita lanjut menyusul

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button