
Skuad hoki wanita negara bangkit cemerlang dalam saingan Kumpulan A Piala Asia Wanita apabila menewaskan Taiwan dengan keputusan besar 11-1, hari ini.
Dalam perlawanan di Gongshu Canal Sports Park Stadium, Hangzhou, China, anak didik Mohd Nasihin Nubli Ibrahim bermula garang dengan empat gol pada suku pertama hasil jaringan Nur Afiqah Syahzani Azhar (minit ke-2), Nuramirah Shakirah Zulkifli (3’), Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin (8’) dan Hanis Nadiah Onn (14’).
Momentum itu diteruskan pada suku kedua apabila Nuramirah Shakirah meledak gol padang pada minit ke-16 sebelum Shafika Mahd Sukri (21’) dan Nur Afiqah Syahzani (23’) menambah dua lagi gol menerusi pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 7-0 pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Malaysia menambah empat lagi gol melalui Khairunnisa Ayuni (32’), Siti Nur Arfah Mohd Nor (36’, 56’) dan Nur Afiqah Syahzani (60’), sekali gus melengkapkan hatrik peribadinya. Taiwan hanya mampu meraih gol sagu hati pada minit ke-59 melalui penalti strok disempurnakan Huang Yu-Ting.
“Alhamdulillah, kita dapat kemenangan yang cukup baik hari ini untuk dijadikan bekalan menghadapi perlawanan seterusnya. Saya yakin kemenangan besar ini akan menaikkan semangat pemain menjelang aksi terakhir menentang Korea Selatan esok,” kata Nasihin dalam kenyataan video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).
— BERNAMA