DomestikSemasa

Penyeludupan Daging Khinzir, Status Lebuhraya Pan Borneo Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

Isu penyeludupan daging khinzir, perkembangan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) serta trend peletakan jawatan doktor dan jururawat di fasiliti kesihatan awam dijangka menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) pada sesi soal jawab lisan akan mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai tindakan penguatkuasaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) terhadap kegiatan penyeludupan daging khinzir haram yang berisiko menyebarkan penyakit Streptococcus suis dan African Swine Fever.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai jumlah tangkapan yang telah dibuat sepanjang tahun ini berhubung aktiviti tersebut.

Sementara itu, Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) akan meminta penjelasan daripada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengenai status kajian kebenaran perlombongan unsur nadir bumi (REE) di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) serta garis masa bagi melengkapkan kajian tersebut.

Dalam pada itu, Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) dijangka mengemukakan soalan kepada Menteri Kerja Raya berhubung status terkini dan perincian garis masa bagi setiap fasa pembinaan LPB, khususnya jajaran WP01 (Sindumin-Melalia) dan WP02 (Melalia-Beaufort).

Wong Shu Qi (PH-Kluang) pula meminta Menteri Kesihatan memperincikan jumlah doktor dan jururawat yang meletak jawatan serta jumlah pengambilan baharu dari tahun 2020 hingga 30 Jun 2025, selain langkah bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja di hospital kerajaan.

Selepas sesi soal jawab, persidangan akan diteruskan dengan penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh menteri-menteri berkaitan.

Seramai 161 Ahli Parlimen telah menyertai sesi perbahasan RMK13 yang berlangsung selama lapan hari sejak 4 Ogos lepas.

RMK13 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, pada 31 Julai lalu dengan peruntukan pelaburan sebanyak RM611 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari sehingga 28 Ogos.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button