
Kerajaan sedang meneliti kemungkinan melaksanakan projek tenaga nuklear di Semenanjung Malaysia dan Sabah bagi memenuhi keperluan tenaga tetap yang semakin meningkat di kedua-dua wilayah, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, menjelaskan bahawa faktor kesesuaian lokasi berhampiran sumber air seperti sungai, laut atau tasik besar merupakan antara pertimbangan utama dalam kajian kebolehlaksanaan bagi sistem penyejukan loji nuklear.
“Semenanjung dan Sabah sesuai untuk pembangunan projek tenaga nuklear kerana memerlukan sumber tenaga tetap. Di Sarawak, kita tiada masalah kerana tenaga hidro sudah menyumbang hampir 70 peratus bekalan elektrik. Namun di Semenanjung dan Sabah, kita masih bergantung kepada gas dan diesel yang bukan sumber bersih,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Arena Pickleball MUSCS di Kuching.
Menurutnya, kerajaan masih belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai teknologi, lokasi atau kapasiti loji yang akan digunakan. Kajian menyeluruh kini sedang dijalankan oleh MyPower Corporation, selaku Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear Negara (NPO).
Kajian tersebut turut merangkumi aspek pembangunan kepakaran tempatan, keselamatan, kesan alam sekitar, teknologi paling sesuai, dan kemampuan pembiayaan projek secara keseluruhan.
“Segala perkara ini perlu diteliti terlebih dahulu. Hanya apabila kita yakin dan rakyat dapat menerima, barulah kita akan muktamadkan. Anggaran paling awal pelaksanaan ialah dalam tempoh 10 tahun akan datang,” jelasnya.
Fadillah turut mendedahkan bahawa kerajaan kini sedang mempertimbangkan penggunaan teknologi reaktor modular kecil (SMR) dan akan melakukan beberapa lawatan kerja ke negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun, China dan Amerika Syarikat untuk menilai teknologi terbaik, selamat dan menjimatkan kos.
“Saya sendiri sudah melawat Rusia dan Perancis bagi tujuan ini, dan lawatan seterusnya adalah ke negara-negara lain yang mempunyai kepakaran dalam tenaga nuklear,” katanya.
Semalam, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kajian pelaksanaan tenaga nuklear sedang dilaksanakan sebagai antara pilihan sumber tenaga bersih, stabil dan berdaya saing untuk masa depan negara, dengan berpandukan garis panduan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
— BERNAMA