
Sekurang-kurangnya 235,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza kini terperangkap dalam krisis musim sejuk “buatan manusia” yang dahsyat akibat peperangan berterusan, pemindahan paksa, dan kemusnahan infrastruktur awam oleh tentera Israel. Amaran tersebut dikeluarkan oleh Ketua Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, ketika sistem cuaca tekanan rendah terus membadai wilayah yang sudah hancur itu.
Menerusi hantaran di platform media sosial X pada Isnin, Lazzarini menegaskan bahawa walaupun fenomena seperti Ribut Byron yang melanda pada 10 Disember lalu merupakan bencana alam, namun kesan ngerinya adalah natijah daripada perbuatan manusia. Beliau merujuk kepada tindakan ketenteraan dan sekatan bantuan Israel yang menyebabkan ratusan ribu penduduk terpaksa berlindung di dalam khemah daif atau di celah-celah runtuhan bangunan yang menunggu masa untuk roboh.
Data daripada Kluster Perlindungan di Gaza menunjukkan bahawa antara 10 hingga 17 Disember, hujan lebat dan angin kencang telah menyebabkan 17 bangunan runtuh serta merosakkan sebahagian atau sepenuhnya lebih 42,000 khemah perlindungan sementara. Gelombang cuaca buruk terbaharu yang melanda sejak hujung minggu pula dilaporkan telah meragut sekurang-kurangnya dua nyawa dan memusnahkan puluhan ribu lagi khemah pelarian.
Walaupun gencatan senjata secara rasmi telah bermula pada 10 Oktober lalu, Israel didakwa masih menutup pintu lintasan wilayah dan menghalang kemasukan rumah pasang siap (kabin) serta bahan binaan asas. Sekatan ini memburukkan lagi nasib hampir 2.4 juta penduduk Gaza yang kini berdepan risiko hipotermia dan penyakit berjangkit. Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan lebih 71,200 orang, manakala krisis musim sejuk ini dijangka akan terus menambah angka korban sekiranya bantuan kritikal terus disekat.
Sumber: Agensi Anadolu (AA)







