KemanusiaanSemasa

MAPIM lancar Tabung Kecemasan Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi Afghanistan

MAPIM jemput NGO di peringkat nasional & antarabangsa untuk koordinasi menyampaikan bantuan kecemasan

SHAH ALAM: MAPIM melancarkan ‘Tabung Bantuan Kemanusiaan Gempa bumi di Afghanistan’ dengan kerjasama Kedutaan Afghanistan di Kuala Lumpur.

Menurut Presiden MAPIM, Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid, bencana pada 22hb Jun yang meragut lebih 1,000 nyawa serta mengakibatkan ribuan lagi cedera memerlukan bantuan sesegera mungkin.

“MAPIM menjemput NGO kemanusiaan di Malaysia untuk bersama dalam usaha bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan dalam masa terdekat.

Rancangan misi kemanusiaan untuk bergerak ke lokasi gempa akan dibincangkan secepat mungkin,” jelas Cikgu Azmi.

Menurut Cikgu Azmi lagi, MAPIM bersedia bekerjasama dengan mana-mana NGO di peringkat nasional dan antarabangsa untuk berkoordinasi menyampaikan bantuan kecemasan ke Afghanistan dengan kadar segera.

Fokus utama pada ketika ini adalah tempat berteduh, khemah, selimut, makanan asas, air bersih serta rawatan perubatan.

Foto kredit dari sumber bbc.com

Menurut laporan BBC, penduduk Afganistan yang terselamat mengeluh dengan situasi mereka yang tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan, tiada tempat berteduh dan kebimbangan dijangkiti wabak kolera.

Beberapa negara dilihat kini telah mula menghantar bantuan kemanusiaan, kewangan dan ubat-ubatan antaranya Singapura & India.

Pada Rabu, gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter melanda di empat daerah wilayah Paktika, Afganistan. Gempa berkenaan melanda kira-kira 47 kilometer dari tenggara bandar Khost dan gegaran dilaporkan dapat dirasai sejauh 500 kilometer di Afganistan, Pakistan & India.

Sehingga kini, angka kematian dilaporkan mencecah 1,150 orang dan lebih 3000 cedera, malah sehingga ke hari ini, angka korban dijangka akan terus meningkat.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button