DomestikSemasa

Polis Mohon Bantuan Kesan Dua Remaja Hilang Di Hulu Kelang Dan Ukay Perdana

Pihak polis memohon bantuan daripada orang ramai untuk mengesan dua orang remaja yang dilaporkan hilang dalam dua kejadian berasingan di Hulu Kelang dan Ukay Perdana, Selangor, sejak Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairul Anuar Khalid berkata, kes pertama melibatkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, N. Barath, yang dilaporkan hilang di Taman Permata, Hulu Kelang.

Kali terakhir remaja berkenaan dilihat adalah pada jam 7 malam Ahad lalu ketika dia membawa anjing peliharaan ibunya keluar bersiar-siar.

“Ibu mangsa mula mencari remaja terbabit selepas mendapati anaknya itu masih belum pulang pada jam 8 malam. Ibu mangsa hanya menemukan anjing peliharaan mereka dalam keadaan diikat pada sebatang pokok di tepi jalan berhampiran rumah, manakala remaja berkenaan gagal dikesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ciri-ciri fizikal N. Barath adalah seperti berikut:

  • Berketinggian 155 sentimeter dengan berat badan 62 kilogram.

  • Berkulit gelap dan berambut hitam.

  • Kali terakhir dilihat memakai seluar jeans berwarna hitam serta t-shirt berwarna biru.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai remaja ini diminta untuk segera menghubungi Sjn Mohd Saiful Shahfuzi Mohd Radzi di talian 019-3202055.

Remaja Perempuan Turut Hilang

Dalam satu kenyataan berasingan, Khairul Anuar memaklumkan polis turut mengesan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, Qaseh Atika Mohd Naim, yang dilaporkan hilang di Ukay Perdana, Ampang.

Laporan kehilangan dibuat oleh ibu mangsa selepas menyedari anaknya tiada di rumah pada jam 8 malam Ahad lepas. Ibu mangsa kemudiannya turut dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa remaja berkenaan tidak hadir ke sekolah semalam.

Ciri-ciri fizikal Qaseh Atika adalah seperti berikut:

  • Berketinggian anggaran 157 sentimeter dengan berat badan 45 kilogram.

  • Berbadan kurus dan berkulit sawo matang.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan remaja perempuan ini diminta menghubungi Insp Nur Faizah Mohd Anuar di talian 017-3422804.

(Sumber: BERNAMA)

Related Articles

Back to top button