DomestikSemasa

RMK13: KEMAS Sedia Laksana Prasekolah Wajib Bermula Umur Lima Tahun

Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menyatakan kesediaan untuk melaksanakan dasar baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang bakal mewajibkan kanak-kanak memulakan pendidikan prasekolah seawal usia lima tahun.

Dalam satu kenyataan hari ini, KEMAS berkata langkah itu adalah selaras dengan arahan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menekankan keperluan memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara.

“KEMAS menyambut baik pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutamanya inisiatif untuk membina, membaik pulih serta menaik taraf kemudahan pendidikan TABIKA KEMAS di seluruh negara,” jelas kenyataan itu.

Sebagai agensi yang telah berperanan dalam pendidikan awal kanak-kanak selama lebih 50 tahun, KEMAS menegaskan bahawa pihaknya telah melaksanakan langkah-langkah awal bagi memperkukuh sistem pembelajaran peringkat prasekolah.

Antara langkah tersebut termasuk pelaksanaan pelan tindakan menyeluruh sejak awal tahun 2025, melibatkan usaha menaik taraf dan membaik pulih premis TABIKA di seluruh negara.

KEMAS turut memaklumkan bahawa pendaftaran bagi sesi kemasukan TABIKA 2026 kini dibuka dan akan ditutup pada 31 Ogos 2025.

“Kini, KEMAS mengendalikan sebanyak 10,567 kelas TABIKA dan 547 TASKA, dengan lebih 200,000 kanak-kanak di bawah bimbingan hampir 11,000 tenaga pendidik terlatih,” tambah kenyataan itu.

Inisiatif ini turut diperkuat melalui program khas seperti Tunas Istimewa dan Pra Tahfiz, yang menerima sambutan positif daripada masyarakat setempat.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menzahirkan komitmen untuk menyokong matlamat RMK13 sebagai peneraju sistem pendidikan tinggi negara.

“Kementerian akan mempergiat usaha memperkukuh tadbir urus, merasionalisasi fungsi institusi, meningkatkan keberhasilan pendidikan, dan memperkasa pembelajaran sepanjang hayat serta ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” jelas KPT.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, KPT bertekad melaksanakan dasar berteraskan nilai murni dan keperluan rakyat.

Kementerian itu turut menyeru kerjasama semua pihak, termasuk institusi pengajian tinggi, agensi berkaitan, industri serta komuniti bagi memastikan kejayaan pelaksanaan RMK13 demi masa depan negara yang lebih cemerlang.

— BERNAMA

 

Related Articles

Back to top button