
Dua bulan selepas Israel mengenakan sekatan penuh terhadap bantuan ke Gaza, pekerja kemanusiaan melaporkan situasi mengerikan melibatkan kanak-kanak kelaparan, penduduk berebut air, dan perpindahan besar-besaran di tengah pengeboman berterusan. Operasi bantuan kini berada di “ambang kehancuran total,” menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.
“Tanpa tindakan segera, Gaza akan terus menjadi huru-hara yang usaha Kemanusiaan tidak mampu atasi,” amaran Palang Merah dalam satu kenyataan. Sekatan yang bermula pada 2 Mac, selepas gencatan senjata gagal, telah menyekat bekalan penting untuk 2.4 juta penduduk Gaza, memperburuk kebuluran dan krisis kemanusiaan.
Program Makanan Sedunia (WFP) PBB mendedahkan stok makanan terakhir telah dihantar ke dapur komuniti, dengan jurucakap OCHA, Olga Cherevko, berkata, “Stok makanan kini hampir habis. Dapur komuniti mula ditutup, dan lebih ramai akan kelaparan.” Beliau turut melaporkan kematian kanak-kanak dan golongan terdedah akibat kekurangan zat makanan.
Akses kepada air juga semakin mustahil. Cherevko berkongsi pengalaman melihat penduduk berebut air dari lori yang baru tiba, dengan keadaan bertambah buruk apabila hospital kehabisan unit darah untuk merawat mangsa serangan. “Saya melihat orang terbakar kerana letupan tanpa air untuk menyelamatkan mereka,” katanya, sambil menggambarkan Gaza sebagai “runtuhan” dengan puing memenuhi jalanan dan jeritan mangsa bergema di tengah letupan.
PBB telah berulang kali menyeru Israel untuk membuka semula lintasan Gaza dan membenarkan bantuan masuk, dengan laporan antarabangsa mengecam sekatan ini sebagai hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin. Di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), negara seperti Afrika Selatan, Algeria, dan Sepanyol menyuarakan kemarahan terhadap Israel kerana “mempersenjatai makanan” dan menyebabkan kelaparan di Gaza.
Sumber: AFP, TRT Global