
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengumumkan bahawa negaranya akan menghantar sebuah kapal tentera laut bagi menyokong Flotilla Sumud Global yang sedang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurut laporan El Pais, Sanchez berkata kapal tindakan maritim yang lengkap dengan semua sumber diperlukan akan berlayar dari Cartagena esok jika terdapat keperluan untuk membantu flotilla atau melaksanakan operasi menyelamat.
Langkah itu diambil selepas Madrid berkoordinasi dengan Rom, susulan keputusan kerajaan Itali menghantar kapal frigat Fasan untuk melindungi warga Itali di atas kapal flotilla serta melaksanakan misi bantuan berpotensi.
Kementerian Pertahanan Sepanyol turut mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya di Itali bagi meneroka kerjasama lebih meluas, yang berkemungkinan melibatkan negara lain termasuk Ireland.
Pegawai kerajaan menegaskan bahawa misi kapal-kapal Eropah itu bukan bertujuan berkonfrontasi dengan Israel, sebaliknya untuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan sekiranya diperlukan. Kapal Tentera Laut Sepanyol itu hanya akan beroperasi di perairan antarabangsa.
Flotilla Sumud Global, yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal, telah belayar sejak awal bulan ini dengan matlamat memecahkan sekatan Israel dan menyalurkan bantuan perubatan ke Gaza. Penganjur menyatakan, sehingga kini beberapa kapal telah diganggu termasuk dilanda letupan serta disasarkan dron berulang kali ketika berada di perairan antarabangsa.
Israel sebelum ini mengancam untuk menghalang flotilla daripada memasuki Gaza, namun tidak memberikan sebarang komen berhubung insiden gangguan tersebut.
Misi ini terus mendapat perhatian dunia, khususnya daripada kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang berulang kali menekankan krisis kemanusiaan yang semakin parah di Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 65,000 penduduk Palestin terbunuh sejak Oktober 2023 akibat serangan Israel, angka yang turut disahkan boleh dipercayai oleh PBB.
Aktivis antarabangsa yang mengetuai flotilla bertekad untuk meneruskan misi berisiko tinggi itu dengan tujuan menyorot kesan sekatan Israel dan menyalurkan bantuan segera kepada 2.4 juta penduduk Gaza yang telah dikepung lebih 18 tahun.
Sumber: TRT World & Agensi