SemasaSukan

Speedy Tigers Tamatkan Kempen Piala Asia 2025 Di Tempat Ketiga

Skuad hoki lelaki negara menutup tirai kempen Piala Asia 2025 dengan bergaya selepas menewaskan China 4-1 pada perlawanan penentuan tempat ketiga hari ini.

Dalam aksi di Stadium Hoki Universiti Bihar, India, skuad bimbingan Sarjit Singh bermula garang apabila Norsyafiq Sumantri meledak gol pembukaan melalui pukulan sudut penalti seawal minit kelapan.

Malaysia terus mengukuhkan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi dua jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-36 dan 50, sebelum Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan melengkapkan kemenangan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-59.

China hanya mampu mendapatkan gol sagu hati menerusi Gao Jiesheng yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-54.

Kemenangan ini menyaksikan Speedy Tigers menamatkan cabaran Piala Asia 2025 di tempat ketiga, sekali gus menjadi penutup positif buat skuad negara dalam kejohanan berprestij benua itu.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button