Landskap politik Sabah yang dinamik menjadikan pengundi tidak menentu, termasuk terhadap calon veteran politik, seperti yang terbukti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 semalam.
Beberapa tokoh politik berpengalaman tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka tandingi. Antaranya, Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia, gagal merampas DUN Pintasan daripada Datuk Fairuz Renddan yang bertanding sebagai calon Bebas, dengan majoriti 1,070 undi. Pandikar, 70, yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat, mencuba nasib kali kedua di kerusi sama selepas percubaan pertama pada PRN ke-16.
Di DUN Usukan, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak daripada Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi apabila tewas kepada Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy dari Parti Warisan dengan majoriti 442 undi. Sementara itu, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman, juga gagal memenangi DUN Bongawan apabila tewas kepada Dr Daud Yusof dari Warisan dalam pertandingan sembilan penjuru.
Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN ke-17, dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 29 kerusi, Warisan 25, BN enam, calon Bebas lima, UPKO tiga, STAR dua, manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing satu kerusi.
Sumber: Bernama







