
Senator Amerika Syarikat (AS), Jeff Merkley, pada Khamis memperkenalkan resolusi pertama seumpamanya di Senat yang menggesa Washington mengiktiraf negara Palestin secara rasmi.
“Pengiktirafan negara Palestin bukan sahaja langkah praktikal untuk membina masa depan di mana rakyat Palestin dan Israel boleh hidup dalam kebebasan, maruah dan keselamatan, tetapi ia juga perkara yang betul untuk dilakukan. Amerika mempunyai tanggungjawab untuk memimpin, dan masa untuk bertindak adalah sekarang,” kata Merkley dalam satu kenyataan.
Resolusi itu menuntut pengiktirafan negara Palestin yang didemiliterisasi bersama Israel yang selamat, berdasarkan undang-undang antarabangsa dan prinsip penyelesaian dua negara.
Menurut Merkley, langkah itu perlu bermula dengan gencatan senjata segera, pembebasan semua tebusan dan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, sebelum membina asas keamanan jangka panjang.
Resolusi tersebut diperkenalkan selepas lawatan Merkley dan Senator Chris Van Hollen ke sempadan Gaza, Israel, Tebing Barat, Jordan dan Mesir pada Ogos lalu.
Cadangan itu turut ditaja bersama oleh beberapa senator Demokrat termasuk Van Hollen, Tim Kaine, Bernie Sanders, Peter Welch, Tina Smith, Tammy Baldwin dan Mazie Hirono, serta disokong kumpulan advokasi pro-Israel, J Street.
Langkah ini dibuat ketika pemimpin dunia dijangka membincangkan isu Palestin di Perhimpunan Agung PBB minggu depan, dengan beberapa sekutu AS dilaporkan bersedia mengiktiraf negara Palestin.
Namun, perkembangan itu hadir hanya sehari selepas AS menggunakan kuasa veto ke atas resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera dan kekal di Gaza, serta pembebasan semua tebusan. Ia merupakan veto keenam AS sejak perang Gaza bermula Oktober 2023.
Sejak serangan Israel ke atas Gaza pada 2023, lebih 65,100 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, majoritinya wanita dan kanak-kanak, manakala pengeboman berterusan menyebabkan wilayah itu tidak lagi dapat didiami, selain dilanda kebuluran dan penyakit.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang serta jenayah kemanusiaan di Gaza.
Sumber: AA







