DuniaSemasa

ARAB SPRING – Harapan yang Menyala, Kesan yang Menyakitkan

Oleh: Muhammad Nazif Bin Sabirin

Disember 2010 menyala sebuah harapan besar dalam dunia Arab apabila tekad rakyat menjadi pencetus revolusi yang kononnya menjanjikan kebebasan daripada penindasan. Gelombang kebangkitan ini bermula daripada tindakan seorang pedagang jalanan Tunisia bernama Muhammad Bouazizi, yang membakar dirinya sendiri sebagai tanda protes terhadap layanan buruk pegawai tempatan. Beliau dilaporkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah yang menjejaskan hampir 90 peratus tubuhnya. Menurut salah seorang wartawan CNN, Amber Lyon dalam dokumentarinya iRevolution: Online Warriors of the Arab Spring yang melaporkan secara langsung isu berkaitan protes di Tunisia, Mesir dan negara lain, menyatakan bahawa kematian Muhammad Bouazizi menjadi cetusan kebangkitan rakyat untuk menentang Presiden Zine El Abidine Ben Ali, dan protes yang semakin meluas akhirnya menjatuhkan beliau pada Januari 2011 selepas 23 tahun memerintah.

28 Disember 2010, bekas Presiden Tunisia Zine El-Abidine Ben Ali (kedua dari kiri), melawat Mohamed Bouazizi di hospital selepas penjual jalanan itu membakar dirinya. [File:Tunisian Presidency/Handout/Reuters]

Gelombang protes Tunisia merebak ke negara-negara lain di Afrika Utara dan Timur Tengah seperti Mesir, Libya, Syria, Bahrain, dan Yaman. Gerakan ini menuntut perubahan politik, ekonomi, dan sosial yang semakin meruncing, serta menentang sistem pemerintahan autokratik yang telah lama berkuasa. Rakyat Arab mengharapkan pembaharuan dalam sistem politik, termasuk pemimpin yang lebih bertanggungjawab, demokrasi yang inklusif, serta hak asasi manusia yang selama ini terhad.

Namun, usaha reformasi ini tidak terlepas daripada kesan negatif. Negara seperti Syria, Libya, dan Yaman terjerumus ke arah ketidakstabilan politik sehingga mencetuskan konflik bersenjata dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan. Menurut laporan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang diterbitkan pada tahun 2016, kenyataan jurucakap UNHCR, Adrian Edwards, konflik yang berlarutan akibat Arab Spring telah menyebabkan berjuta-juta rakyat Syria hidup tanpa perlindungan, makanan dan akses pendidikan, menjadikan krisis ini sebagai bencana kemanusiaan yang berpanjangan. Konflik bersenjata yang tercetus di beberapa negara Arab juga mengorbankan ribuan nyawa dan memaksa jutaan penduduk awam meninggalkan kediaman mereka, sekali gus mencetuskan krisis pelarian terbesar di dunia sejak Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, persoalan besar terus timbul. Adakah Arab Spring berjaya membuka laluan kepada perubahan politik seperti yang diharapkan, atau sekadar membuka pintu kepada konflik berpanjangan dan campur tangan antarabangsa yang menambah penderitaan rakyat? Kesan dan dampak Arab Spring masih dirasai sehingga kini dan situasinya lebih kompleks daripada jangkaan awal.

Arab Spring menghidangkan pelbagai espektasi, daripada harapan yang menjanjikan pembaharuan sehinggalah kekecewaan yang menjadi mimpi ngeri bagi sebahagian rakyat. Seperti yang dilaporkan oleh Time Magazine (2011), perjuangan menentang kezaliman memerlukan pengorbanan besar dan tidak semestinya menjanjikan kejayaan segera. Namun demikian, menurut The Guardian (2011), mesej penentangan terhadap kekejaman rejim autoritarian telah membuka mata dunia dan mendapat perhatian antarabangsa, menunjukkan bahawa tidak semua pengorbanan itu sia-sia.

Gelombang Arab Spring di Negara-Negara Arab

Percubaan penunjuk perasaan melintas Jambatan Kasr Al Nile untuk masuk ke Dataran Tahrir pada 28 Januari 2011 di pusat bandar Kaherah, Mesir. [Peter Macdiarmid/Getty Images]

Selepas kejayaan rakyat Tunisia menumbangkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali, gelombang kebangkitan ini segera merebak ke negara-negara Arab lain. Mesir menjadi negara kedua yang menyaksikan demonstrasi besar apabila rakyat menuntut keadilan, kebebasan bersuara, dan reformasi politik. Protes bermula pada Januari 2011 di Kaherah, di tengah-tengah Tahrir Square, dan berkembang menjadi gerakan nasional yang menuntut pengunduran Presiden Hosni Mubarak, yang akhirnya meletakkan jawatan pada Februari 2011.

Di Libya pula, kebangkitan rakyat bermula pada bulan Februari 2011 sebagai tindak balas terhadap penindasan rejim Muammar Gaddafi. Demonstrasi aman segera berubah menjadi konflik bersenjata, di mana rakyat menuntut pengakhiran pemerintahan autoritarian yang telah bertahan lebih daripada empat dekad.

Sementara itu, di Bahrain, protes bermula pada Februari 2011 dengan rakyat menuntut pembaharuan politik dan hak asasi manusia, terutama untuk komuniti Syiah yang lama merasa terpinggir. Tindakan tegas kerajaan Bahrain menyebabkan ketegangan berlarutan dan campur tangan pasukan asing dari negara Teluk lain.

Di Yaman, rakyat turun ke jalan raya pada awal tahun 2011 untuk menuntut pengakhiran pemerintahan Presiden Ali Abdullah Saleh yang telah berkuasa selama lebih tiga dekad. Demonstrasi yang pada awalnya bersifat aman akhirnya berubah menjadi konflik bersenjata di beberapa wilayah, sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan yang berlarutan sehingga ke hari ini. Situasi ini mencerminkan penentangan terhadap kezaliman yang telah lama membelenggu rakyat, sejajar dengan peringatan Rasulullah ﷺ tentang bahaya kezaliman dalam pemerintahan. Baginda bersabda:

“Takutlah kamu akan kezaliman, kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan pada hari kiamat.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini menegaskan bahawa kezaliman bukan sahaja membawa penderitaan di dunia, malah mendatangkan balasan berat di akhirat. Kebangkitan rakyat Yaman boleh difahami sebagai usaha membebaskan diri daripada sistem pemerintahan yang menindas dan tidak adil. Gelombang kebangkitan ini menunjukkan bahawa apabila rakyat bersatu menuntut keadilan dan maruah, kezaliman tidak dapat dibiarkan berterusan. Prinsip ini selari dengan firman Allah SWT:

“Dan mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah, baik lelaki, wanita mahupun kanak-kanak, yang berdoa: ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang penduduknya zalim.’” (Surah an-Nisā’, 4:75)

Ayat ini menegaskan bahawa Islam mengiktiraf perjuangan menentang kezaliman dan membela golongan tertindas sebagai satu tuntutan moral dan kemanusiaan. Justeru, kebangkitan rakyat Yaman bukan sekadar peristiwa politik, tetapi mencerminkan jeritan keadilan yang berakar daripada nilai-nilai sejagat yang turut ditekankan dalam ajaran Islam.

Penduduk Qamishli di Syria menggunakan telefon bimbit mereka untuk menangkap gambar mantan Presiden Syria Bashar al-Assad yang rosak ketika orang ramai meraikan penyingkiran presiden. [Orhan Qereman/Reuters]

Syria: Daripada Protes Aman kepada Tragedi Kemanusiaan

Di Syria, gelombang Arab Spring bermula dengan penuh harapan tetapi akhirnya bertukar menjadi antara tragedi paling dahsyat dalam sejarah dunia Islam moden. Menurut penyiaran media antarabangsa Al Jazeera pada tahun 2011, protes pertama tercetus pada Mac 2011 di bandar Daraa selepas beberapa remaja ditahan dan diseksa kerana menulis slogan anti-kerajaan pada dinding sekolah. Laporan awal yang disampaikan oleh wartawan dan koresponden Al Jazeera, antaranya Rula Amin, melalui siaran televisyen dan portal berita, berdasarkan temu bual saksi tempatan serta rakaman orang awam yang telah disahkan, mendedahkan bagaimana tindakan keras pihak berkuasa terhadap bantahan kecil itu mencetuskan kemarahan rakyat. Kekerasan tersebut akhirnya mendorong demonstrasi aman merebak ke bandar-bandar lain seperti Homs, Hama dan Damsyik, sekali gus menandakan bermulanya konflik berskala besar yang berpanjangan di Syria. Apa yang bermula sebagai suara rakyat akhirnya bertukar menjadi konflik bersenjata.

Penggunaan kekerasan melampau, termasuk pengeboman kawasan awam dan penahanan besar-besaran, mendorong sebahagian rakyat Syria mengangkat senjata sebagai jalan terakhir untuk mempertahankan diri. Perpecahan dalaman, kemunculan kumpulan bersenjata, serta campur tangan kuasa luar menjadikan Syria medan perang yang kompleks dan berpanjangan.

Akibat konflik yang berlarutan ini, penderitaan rakyat Syria mencapai tahap yang amat membimbangkan. Negara tersebut berhadapan dengan krisis pelarian terbesar di dunia, apabila jutaan rakyat kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berlindung di negara jiran serta Eropah. Kanak-kanak, wanita dan warga emas muncul sebagai mangsa utama peperangan yang tidak berkesudahan, berdepan kehilangan keluarga, trauma psikologi dan kemusnahan masa depan.

Tragedi kemanusiaan ini jelas bertentangan dengan prinsip asas Islam yang memelihara kesucian nyawa manusia, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan politik. Allah SWT menegaskan bahawa pencabulan nyawa manusia merupakan jenayah besar yang memberi kesan kepada seluruh umat manusia, sebagaimana firman-Nya:

“Barang siapa membunuh seorang manusia — bukan kerana orang itu membunuh orang lain atau membuat kerosakan di muka bumi — maka seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia.” (Surah al-Ma’idah, 5:32)

Ayat ini menegaskan bahawa pertumpahan darah yang berlaku dalam konflik Syria bukan sekadar isu politik atau ketenteraan, tetapi merupakan pencabulan nilai kemanusiaan dan keadilan yang dijunjung oleh Islam. Seiring dengan itu, Rasulullah ﷺ turut memberi amaran keras terhadap kezaliman dan pembunuhan tanpa hak, apabila Baginda bersabda:

“Hilangnya dunia lebih ringan di sisi Allah daripada terbunuhnya seorang mukmin tanpa hak.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini memperlihatkan betapa Islam meletakkan nyawa manusia pada kedudukan yang sangat tinggi, sehingga kehancuran dunia sekalipun dianggap lebih ringan berbanding pembunuhan yang zalim. Justeru, penderitaan rakyat Syria hari ini bukan sahaja mencerminkan kegagalan politik dan kemanusiaan, tetapi juga menjadi peringatan serius tentang akibat mengabaikan nilai keadilan, rahmah dan pemeliharaan nyawa dalam kehidupan bermasyarakat.

Kes Syria menunjukkan bagaimana Arab Spring di sesetengah negara tidak membawa kepada perubahan yang diharapkan, sebaliknya membuka jalan kepada penderitaan berpanjangan. Kegagalan dialog politik, dominasi kepentingan geopolitik, dan perpecahan dalaman telah menafikan hak rakyat Syria untuk menikmati keamanan dan keadilan.

Namun begitu, tragedi ini tetap menjadi peringatan besar kepada dunia Islam dan masyarakat antarabangsa. Ia menegaskan bahawa tuntutan keadilan mesti disertai kebijaksanaan, dialog, dan kepimpinan yang bertanggungjawab. Islam tidak pernah merestui kezaliman, tetapi juga menolak kekacauan yang menghancurkan nyawa orang tidak berdosa.

Impak Arab Spring Terhadap Dunia Islam Kini

Lebih sedekad selepas tercetusnya Arab Spring, kesan kebangkitan ini masih jelas dirasai oleh negara-negara yang terlibat, meskipun dalam bentuk yang berbeza-beza. Arab Spring tidak menghasilkan satu pola perubahan yang seragam, sebaliknya mencetuskan landskap politik baharu yang lebih kompleks, rapuh dan dalam sesetengah kes, lebih bermasalah daripada sebelumnya.

Di Tunisia, yang pernah dianggap sebagai satu-satunya kisah kejayaan Arab Spring, keadaan politik kembali bergelora. Menurut penyiaran media antarabangsa Al Jazeera (2022), disediakan oleh wartawan Rula Amin dan pasukannya, langkah Presiden Kais Saied menggantung parlimen dan menumpukan kuasa eksekutif telah menimbulkan kebimbangan tentang kembalinya autoritarianisme. Laporan yang disiarkan melalui televisyen dan portal berita Al Jazeera itu, menunjukkan bagaimana rakyat yang suatu ketika dahulu bangkit menuntut kebebasan kini berhadapan dengan krisis ekonomi, inflasi tinggi, dan kekecewaan terhadap proses demokrasi.

Situasi ini selari dengan peringatan Allah SWT kepada manusia bahawa nasib sesuatu kaum bergantung kepada usaha dan perubahan yang dilakukan oleh mereka sendiri, sebagaimana firman-Nya:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra‘d, 13:11)

Dalil ini mengingatkan bahawa kebangkitan rakyat Arab Spring bukan hanya sekadar protes terhadap pemerintah, tetapi juga menuntut kesedaran kolektif dan tanggungjawab rakyat untuk menegakkan keadilan, memperbaiki sistem, dan memastikan kebebasan yang diperjuangkan tidak kembali musnah akibat kelemahan diri atau pasifisme masyarakat.

Di Mesir, kesan Arab Spring membawa kepada perubahan rejim tetapi tidak membawa kestabilan jangka panjang. Menurut laporan CNN (2022), disediakan oleh wartawan dan koresponden Mohamed Fahmy dan pasukannya, Mesir kini berada di bawah pemerintahan yang lebih ketat berbanding era sebelum 2011, dengan ruang kebebasan politik dan media yang semakin sempit. Walaupun kerajaan menekankan keselamatan dan kestabilan, banyak pemerhati melihat semangat asal revolusi Tahrir semakin pudar.

Sementara itu, Syria kekal sebagai simbol kegagalan paling tragis Arab Spring. Konflik yang bermula daripada protes aman telah meninggalkan jutaan pelarian dan krisis kemanusiaan yang berlarutan sehingga kini. Infrastruktur negara musnah, ekonomi lumpuh dan generasi muda membesar dalam suasana peperangan. Tragedi ini amat bertentangan dengan prinsip Islam yang memelihara nyawa manusia, sebagaimana firman Allah:

“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah, kecuali dengan alasan yang benar.” (Surah al-Isra’, 17:33)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa nyawa manusia adalah amanah yang paling berharga, dan sebarang bentuk kekerasan yang membunuh tanpa sebab yang sahih adalah dilarang.

Di Libya, menurut laporan wartawan lapangan Martin Patience, BBC News (2023), kejatuhan Muammar Gaddafi tidak membawa kepada kestabilan, sebaliknya membuka ruang kepada perebutan kuasa antara kumpulan bersenjata dan kerajaan bersaing. Negara yang kaya dengan sumber minyak ini masih bergelut dengan perpecahan politik dan keselamatan yang rapuh, menjadikan kehidupan rakyat terus terhimpit.

Keadaan di Yaman pula lebih menyayat hati. wartawan lapangan Rula Amin melaporkan melalui Al Jazeera (2024) bahawa kebangkitan rakyat yang bermula dengan tuntutan reformasi politik kini bertukar menjadi krisis kemanusiaan terburuk di dunia. Jutaan rakyat menghadapi kebuluran, penyakit dan kekurangan bantuan asas.

Secara keseluruhan, Arab Spring meninggalkan kesan mendalam terhadap negara-negara yang terlibat. Menurut analisis The Guardian (2023), kebangkitan ini berjaya membangkitkan kesedaran politik rakyat Arab, tetapi kegagalan institusi, campur tangan kuasa luar dan kepimpinan yang lemah telah menafikan sebahagian besar impian asal revolusi. Namun begitu, Arab Spring tetap menjadi bukti bahawa rakyat Islam tidak lagi pasrah terhadap kezaliman dan penindasan.

Kesannya hari ini bukan sahaja terzahir dalam bentuk konflik dan krisis, tetapi juga dalam kesedaran kolektif umat Islam bahawa keadilan, amanah kepimpinan dan kesejahteraan rakyat adalah tuntutan agama, bukan sekadar slogan politik. Seperti sabda Rasulullah ﷺ:

“Pemimpin adalah penjaga, dan setiap penjaga akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dijaganya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Disediakan oleh, Muhammad Nazif Bin Sabirin (Mahasiswa Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya)

Related Articles

Back to top button