
Perancis melakar sejarah sebagai negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang melarang kanak-kanak berusia bawah 15 tahun daripada menggunakan platform media sosial, selepas rang undang-undang berkaitan diluluskan secara rasmi oleh Parlimen negara itu.
Ketetapan tersebut dicapai menerusi sokongan padu di kedua-dua dewan Parlimen Perancis. Dewan Senat meluluskannya dengan 243 undi menyokong berbanding dua menentang, manakala Dewan Rendah Parlimen merekodkan 279 undi menyokong dan 81 menentang.
Menteri Hal Ehwal Digital Perancis, Anne Le Henanff, menegaskan bahawa langkah berkenaan membolehkan Perancis menerajui usaha di peringkat Eropah dalam menetapkan had umur minimum digital demi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya dengan lebih berkesan.
Berdasarkan jadual pelaksanaannya:
-
Sesi Persekolahan September: Undang-undang baharu ini akan mula dikuatkuasakan bagi pendaftaran akaun media sosial yang baharu.
-
Awal Januari: Pelaksanaan secara penuh akan diperluas merangkumi kawalan ke atas akaun sedia ada.
Selain sekatan media sosial, undang-undang terbaharu itu turut memperketat peraturan sedia ada dengan memperluas larangan penggunaan telefon bimbit ke sekolah-sekolah menengah di seluruh Perancis.
— BERNAMA-ANADOLU







