
Inisiatif kerajaan menyalurkan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus ke MyKad ternyata memberi kesan positif kepada penerima, bukan sahaja memastikan bantuan sampai kepada golongan layak, malah membolehkan mereka menikmati harga promosi istimewa di pasar raya terpilih.
Noraini Sidek@Ali, 49, seorang ibu tunggal kepada empat anak, berkata beberapa pasar raya di daerah ini menawarkan harga lebih rendah kepada penerima SARA yang membuat pembayaran menggunakan MyKad. Menurutnya, kaedah ini memudahkan urusan dan memastikan bantuan tidak disalahguna.
“Mungkin bila guna MyKad, pihak pasar raya dapat kenal pasti penerima SARA. Sebab itu mereka tawarkan harga istimewa untuk bantu golongan B40,” katanya yang menerima RM100 sebulan sejak April lalu, sekali gus dapat mengurangkan beban belanja dapur.
Adiknya, Nor Laily Azura, 37, yang turut berstatus ibu tunggal berkata, penggunaan MyKad juga memberi rasa selamat kerana tidak perlu membawa wang tunai yang banyak. Dengan bantuan RM200 sebulan, beliau dapat menampung keperluan harian tanpa terlalu risau tentang perbelanjaan dapur.
Program SARA, yang diperluas kepada 5.4 juta penerima di seluruh negara, membolehkan pembelian tanpa tunai di lebih 3,700 premis berdaftar. Sempena Hari Kebangsaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan pemberian sekali beri RM100 kepada semua rakyat dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang boleh digunakan di lebih 4,500 kedai mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini.
Langkah ini selaras dengan matlamat Ekonomi MADANI untuk memperkukuh perlindungan sosial dan membantu golongan rentan menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Sumber – Bernama