SemasaSukan

Terbuka India 2026: Jun Hao Dan Justin Tersingkir, Cabaran Perseorangan Lelaki Malaysia Berakhir

Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki pada kejohanan badminton Terbuka India 2026 berakhir hambar selepas dua wakil negara, Leong Jun Hao dan Justin Hoh, tersingkir pada pusingan pertama yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi hari ini.

Leong Jun Hao terpaksa menarik diri dalam perlawanan menentang pemain Jepun, Yushi Tanaka. Jun Hao membuat keputusan tersebut pada set kedua selepas tewas 5-21 pada set pertama dan ketinggalan 3-8 pada set berikutnya. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataannya mengesahkan penarikan diri pemain itu namun tidak mendedahkan punca sebenar di sebalik tindakan berkenaan. Kegagalan Jun Hao membolehkan Tanaka mara ke pusingan kedua untuk bertemu sama ada Jason Teh dari Singapura atau Jonatan Christie dari Indonesia.

Nasib yang sama menimpa pemain muda, Justin Hoh, yang tewas dalam pertemuan pertama menentang wakil China, Lu Guang Zu. Justin tunduk dalam aksi straight set 17-21, 15-21. Kekalahan kedua-dua pemain ini menyaksikan tiada lagi wakil perseorangan lelaki negara yang tersisa dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF itu.

Sementara itu, kem Malaysia terus dunduk dalam acara beregu campuran apabila pasangan pilihan keempat, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, turut terkandas. Mereka dikecewakan oleh gandingan China, Cheng Xing dan Zhang Chi, dengan keputusan 16-21, 19-21 dalam perlawanan yang memakan masa 40 minit. Keputusan ini menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua pasangan kini terikat 1-1, selepas Tang Jie-Ee Wei memenangi pertembungan terdahulu pada Terbuka Korea 2024.

SUMBER: BERNAMA

Related Articles

Back to top button