
GAZA – Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, berkata di Facebook bahawa lebih 100 orang, termasuk 35 kanak-kanak, terbunuh dalam ‘pembunuhan beramai-ramai dahsyat oleh Israel’ dalam tempoh kurang 12 jam di seluruh Gaza.
“Pembunuhan beramai-ramai ini berlaku di depan mata para perantara dan masyarakat antarabangsa yang kekal berdiam diri serta gagal mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan pertumpahan darah rakyat Palestin yang berlarutan lebih dua tahun,” katanya.
Agensi berita rasmi Wafa yang memetik sumber hospital melaporkan, 31 orang terbunuh di utara Gaza, 42 di kawasan tengah, dan 18 di selatan. Serangan turut mencederakan ramai orang awam.
Serangan Israel mengenai rumah kediaman, khemah pelarian, kenderaan, tempat perlindungan dan sebuah hospital di dalam ‘garisan kuning’, kawasan di mana tentera Israel sepatutnya berundur mengikut perjanjian gencatan senjata. Zon ini membahagikan Gaza kepada dua bahagian, terletak di selatan Bandar Gaza dan utara Khan Younis.
Di utara Gaza, tentera Israel menyasarkan sekolah yang dijadikan pusat perlindungan di Beit Lahia, menyebabkan tiga maut dan beberapa lagi cedera. Serangan di kejiranan Al-Nasr dan kem pelarian Shati pula membunuh lapan orang, manakala lima lagi terbunuh di kawasan Sabra, termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui di bawah runtuhan rumah.
Rabu pagi, serangan baharu Israel mengenai sebuah masjid yang menempatkan pelarian di Sabra. Dua maut dan 10 cedera di kejiranan Zeitoun, sementara beberapa lagi masih hilang di bawah runtuhan. Seorang ibu dan anaknya turut maut di kejiranan Tel al-Hawa.
Di tengah Gaza, empat maut selepas khemah mereka di Deir al-Balah diserang. Di selatan, dua lagi terbunuh dan beberapa cedera. Enam maut apabila pesawat Israel mengebom sekolah dan rumah di kem pelarian Bureij, manakala lima lagi terbunuh di kem pelarian Nuseirat. Dalam serangan lain di kem sama, sembilan orang termasuk empat kanak-kanak terbunuh dan sembilan lagi hilang di bawah runtuhan.
Lapan orang termasuk tiga kanak-kanak maut apabila khemah pelarian di kawasan Al-Mawasi, barat Khan Younis, diserang.
Sumber perubatan berkata angka korban dijangka meningkat berikutan ramai mangsa cedera parah dan operasi mencari mangsa di bawah runtuhan masih diteruskan.

Serangan ganas ini melanggar gencatan senjata yang dikuatkuasakan pada 10 Oktober di bawah pelan 20 perkara Presiden AS, Donald Trump. Fasa pertama perjanjian itu melibatkan pertukaran tebusan Israel dengan hampir 2,000 tahanan Palestin serta rancangan membina semula Gaza dan menubuhkan pentadbiran baharu tanpa Hamas.
Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 68,500 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 170,000 orang dalam serangan ke atas Gaza. – Anadolu
 
  
  
  
 






