
LONDON : Pelaksanaan pemberian vaksinasi secara besar-besaran dilihat masih belum diperlukan bagi membendung penularan penyakit cacar monyet yang merebak di luar negara Afrika, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ketua pasukan patogen ancaman tinggi di WHO Eropah, Richard Pebody sebaliknya yakin penyakit itu boleh dikawal dengan mengamalkan kebersihan dan tabiat seks yang selamat.
Menurut laporan Reuters, bekalan vaksin dan antivirus juga adalah sangat terhad.
“Mengenal pasti kontak rapat dan pengasingan diri merupakan langkah utama bagi mengawal penularan penyakit tersebut.
“Ini kerana virus itu tidak boleh merebak dengan mudah serta tidak menyebabkan penyakit serius. Vaksin yang digunakan untuk merawat cacar monyet boleh menyebabkan kesan sampingan,” katanya.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat yang memaklumkan pihaknya dalam proses untuk mengeluarkan vaksin Jynneos bagi merawat penyakit cacar monyet.
Dalam pada itu, saintis berusaha memahami asal usul cacar monyet dan tiada bukti menunjukkan virus itu bermutasi.
Sebelum ini, WHO mendedahkan penularan virus itu berpunca akibat aktiviti seks bebas antara golongan gay melibatkan lelaki dengan lelaki.
Virus itu boleh merebak melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah, cecair badan atau luka haiwan yang dijangkiti.
Malah, virus juga boleh berjangkit melalui titisan pernafasan apabila terdapat kontak bersemuka yang berpanjangan serta objek yang tercemar virus seperti tempat tidur dan pakaian.