
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berikrar akan mendedahkan “jawapan yang memuaskan” tidak lama lagi berhubung siri kematian dan kehilangan misteri melibatkan sekurang-kurangnya lapan saintis terkemuka negara itu yang mempunyai kaitan dengan penyelidikan rahsia angkasa lepas dan nuklear.
Bercakap kepada pemberita di Rumah Putih selepas satu mesyuarat khas, Trump menyifatkan insiden yang berlaku sejak tahun 2023 itu sebagai “perkara yang sangat serius” dan memberi bayangan bahawa butiran lanjut akan muncul dalam tempoh dua minggu akan datang.
Siasatan Rasmi Rumah Putih
“Saya harap ia hanyalah satu kebetulan, tetapi kita akan mengetahuinya dalam tempoh seminggu setengah lagi. Sebahagian daripada mereka adalah individu yang sangat penting,” ujar Trump.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, dalam satu taklimat media pada Rabu mengesahkan bahawa pentadbiran Trump menganggap corak kehilangan dan kematian ini cukup serius untuk mewajarkan siasatan rasmi merentas agensi keselamatan.
Senarai Kehilangan yang Mencurigakan
Siasatan tersebut kini menumpukan kepada beberapa tokoh penyelidik dan kontraktor berprofil tinggi yang berkhidmat dengan institusi sains paling sensitif di Amerika Syarikat. Antara kes yang paling menonjol termasuk:
-
Monica Jacinto Reza: Jurutera aeroangkasa kanan NASA (Makmal Pendorongan Jet) yang hilang secara misteri ketika mendaki di California pada Jun 2025.
-
Mejar Jeneral (B) William “Neil” McCasland: Bekas komander Makmal Penyelidikan Tentera Udara yang dilaporkan hilang pada Februari 2026.
-
Steven Garcia & Anthony Chavez: Masing-masing merupakan pakar daripada Kampus Keselamatan Negara Kansas City dan Makmal Kebangsaan Los Alamos yang hilang pada tahun 2025.
Selain kehilangan, kematian dua saintis Makmal Pendorongan Jet NASA, Frank Maiwald (2024) dan Michael David Hicks (2023), turut menjadi tanda tanya apabila punca kematian mereka tidak pernah didedahkan kepada umum.
Ancaman Terhadap Keselamatan Negara
Pakar keselamatan menyatakan kebimbangan memandangkan ramai daripada individu yang hilang dilaporkan meninggalkan barang peribadi penting seperti telefon bimbit dan dompet, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya penculikan terancang atau ancaman yang disasarkan.
Insiden ini berlaku ketika pentadbiran Trump sedang mengarahkan NASA dan Pentagon untuk mempercepatkan pembangunan reaktor nuklear bagi kegunaan angkasa lepas.
Susulan itu, Ahli Parlimen Eric Burlison telah meminta penglibatan rasmi daripada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bagi menyiasat sama ada terdapat kaitan antara kes-kes ini dengan program keselamatan nasional yang kritikal.
“Rakyat Amerika berhak mengetahui sama ada saintis terbaik kita menjadi sasaran pihak luar atau musuh negara,” kata pemerhati keselamatan di Washington.
SUMBER: TRT World, Agensi







