Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menegaskan bahawa gencatan senjata di Gaza masih utuh meskipun Israel melancarkan serangan udara yang mengorbankan sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin.
Trump berkata kepada pemberita di atas pesawat Air Force One pada Selasa bahawa “tiada apa-apa yang akan menjejaskan gencatan senjata di Gaza.” Menurutnya, serangan Israel itu merupakan tindak balas terhadap tindakan Hamas yang didakwa membunuh seorang askar Israel, walaupun tiada bukti dikemukakan bagi menyokong dakwaan tersebut.
Israel melancarkan beberapa siri serangan udara sejak petang Selasa yang menyebabkan 30 rakyat Palestin terkorban dan ramai lagi cedera, termasuk wanita serta kanak-kanak. Serangan itu dianggap sebagai pelanggaran jelas terhadap perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini, dengan alasan ia menyasarkan pejuang penentang.
Serangan tertumpu di kawasan yang dikenali sebagai “garisan kuning”, iaitu zon buatan yang membahagikan Gaza kepada dua bahagian — utara dan selatan — di mana tentera Israel telah berundur mengikut syarat perjanjian gencatan senjata.
Perjanjian gencatan senjata tersebut telah dilaksanakan sejak 10 Oktober di bawah pelan 20 perkara yang diperkenalkan oleh Trump, termasuk pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran untuk hampir 2,000 tahanan Palestin serta pembinaan semula wilayah Gaza.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza telah meragut lebih 68,500 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 170,000 orang lain. Sebahagian besar kawasan di wilayah itu kini musnah teruk dan jutaan penduduk terpaksa berpindah.
Sumber: TRT World & Agensi







