
Gas Malaysia Bhd (Gas Malaysia) melaporkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM99.12 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM110.05 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Perolehan syarikat turut menyusut 9.2 peratus kepada RM1.80 bilion berbanding RM1.98 bilion sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Gas Malaysia menjelaskan penurunan perolehan itu disebabkan purata harga jualan gas asli yang lebih rendah, meskipun jumlah gas yang dijual lebih tinggi serta peningkatan yuran tol.
Bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, keuntungan bersih syarikat turun kepada RM199.25 juta berbanding RM212.68 juta dalam tempoh sama 2024, manakala perolehan susut 5.5 peratus kepada RM3.64 bilion daripada RM3.85 bilion.
Gas Malaysia turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak enam sen sesaham, melibatkan jumlah keseluruhan RM77.04 juta bagi 1.284 bilion saham biasa. Dividen tersebut akan dibayar pada 31 Oktober 2025 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Mengenai prospek, syarikat itu berkata ia akan terus melaksanakan langkah berhemat bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan daya saing serta memacu peluang pertumbuhan strategik.
“Dengan adanya inisiatif ini, lembaga pengarah yakin kumpulan berada dalam kedudukan baik untuk mencapai prestasi memuaskan bagi tahun kewangan 2025, sambil mengekalkan sikap berhati-hati berikutan ketidaktentuan pasaran global,” jelas kenyataan itu.
— BERNAMA