KUALA LUMPUR – Usahawan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas yang sebelum ini menghadapi masalah susulan pembekuan pengambilan pekerja asing bagi sektor itu menyatakan kesediaan memberikan latihan kepada warga tempatan bagi mengisi keperluan pekerja sektor berkenaan.
Penolong Setiausaha Persatuan Pemilik Gaya Rambut Salun India Malaysia (Mindas) M Meenaq Kumar berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meluluskan sebahagian permohonan bagi mendapatkan pekerja asing bagi sektor itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melancarkan urusan perniagaan.
Meenaq yang menyambut baik pengumuman itu berkata ia memberikan kelegaan kepada kesemua usahawan berkaitan setelah 14 tahun pembekuan pengambilan pekerja asing bagi sektor terbabit yang dikuatkuasakan sejak tahun 2009.
Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor itu namun, beliau meletakkan syarat agar golongan belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja, melibatkan tiga sektor berkenaan.
Berkongsi sentimen sama Setiausaha Agung Persatuan Tekstil India dan Kedai Runcit (MITA) Maheswary Ramasamy turut menyatakan kesediaan untuk memberikan latihan kepada pekerja tempatan bagi membantu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga luar.
Malaysian Indian Goldsmith Jewellers Association (MIGJA) Datuk Abdul Rasull Abdul Razak pula berkata pada masa ini pihaknya mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai perkara itu dan menunggu keputusan Kabinet yang akan membincangkan perkara itu secara lanjut.
Abdul Rasull berkata ia kerana sektor berkenaan melibatkan modal yang tinggi dan tenaga kerja mahir membabitkan bayaran gaji yang tinggi mencecah RM15,000 seorang.