Covid19Semasa

Vaksin Covid-19 sampai 26 Februari

Ramai tampil mohon jadi sukarelawan lebih daripada 3,000 orang

KUALA TERENGGANU : Vaksin COVID-19 fasa pertama dibeli kerajaan daripada syarikat farmaseutikal Pfizer, dijangka tiba di Malaysia pada 26 Februari ini sebelum diagih ke negeri bagi suntikan penerima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya menjangkakan agihan vaksin itu akan selesai dalam tempoh dua minggu.

“Apabila sampai di pintu masuk antarabangsa, kita akan agihkan vaksin, mungkin dalam tempoh seminggu dua. Kementerian Kesihatan (KKM) menerima lebih 3,000 permohonan untuk menjadi sukarelawan dalam Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19.”

“Permohonan yang menggalakkan itu menyebabkan kita terpaksa membuat pemilihan dan tapisan peserta berdasarkan kelayakan tertentu.”

“Kita mahu 3,000 sukarelawan tetapi yang mohon ramai, jadi kita akan pilih dan setakat ini lebih 1,000 sukarelawan sudah disuntik dalam kajian klinikal ini,” katanya.

Terdahulu beliau mengunjungi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Wisma Darul Iman hari ini.

Pada 24 November tahun lalu, Malaysia mengumumkan akan mendapat bekalan awal 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, KKM masih menggunakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang ketika ini dalam proses pindaan.

“Akta 324 ini masih digunakan tetapi kita guna Ordinan Darurat untuk membantu pelaksanaan Akta 342.

“Sebagai contoh, daripada segi sijil amalan, kita khususkan doktor atau jururawat di sesuatu tempat.

“Ketika ini, kita gunakan Ordinan Darurat yang membenarkan jururawat dan doktor berkhidmat di tempat lain sama ada awam atau swasta, bergantung kepada keperluan,” katanya.

Sebelum ini, KKM menyerahkan draf pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada Peguam Negara bagi mengkaji semula kadar kompaun ke atas individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19.

Pindaan Akta 342 diperlukan berikutan jumlah kompaun maksimum yang diperuntukkan adalah RM1,000.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button