
Ipoh, 21 Julai 2025 – Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun kerugian RM158,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans dan anggota polis. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata mangsa menerima panggilan daripada pihak yang mendakwa sebagai syarikat insurans, mendakwa beliau mempunyai tunggakan bayaran.
Panggilan itu kemudian disambung kepada individu yang mengaku sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, yang memaklumkan mangsa kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram bernilai lebih RM2 juta dan waran tangkap telah dikeluarkan. “Dalam keadaan panik, mangsa diugut dan diarahkan membuat pelbagai transaksi ke beberapa akaun bank untuk tujuan jaminan diri dan siasatan dalaman,” kata Abang Zainal dalam kenyataan hari ini.
Mangsa membuat 12 transaksi ke 12 akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek sebelum menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan. “Polis sedang mengesan pemilik akaun dan semua suspek yang dipercayai terlibat dalam sindiket ini,” tambah beliau.
Sumber: BERNAMA