
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan peningkatan besar dalam operasi bantuan kemanusiaan di Gaza selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas mula berkuat kuasa minggu lalu.
Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pihaknya telah mengerahkan pasukan perubatan kecemasan dalam tempoh 24 jam bagi memperkukuh keupayaan rawatan pembedahan dan kecemasan di Hospital Al-Ahli, selain merancang lebih banyak penempatan di Kota Gaza apabila penduduk mula kembali ke kawasan masing-masing.
“Sejak gencatan senjata dilaksanakan, WHO telah menghantar lapan trak membawa bekalan perubatan penting ke Gaza, termasuk insulin, ubat-ubatan kritikal serta kelengkapan makmal,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Isnin.
Dr. Tedros turut memaklumkan bahawa WHO telah menyalurkan ubat kanser dan peralatan rawatan rapi seperti inkubator, ventilator mekanikal dan pemantau pesakit ke Hospital Gaza Eropah, sebelum diserahkan ke Hospital Nasser bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan awam di wilayah itu.
“Meningkatkan akses kepada kemudahan kesihatan dan memperluas misi operasi kami merupakan langkah pertama yang penting untuk memastikan bantuan perubatan segera dapat disampaikan kepada rakyat Palestin di seluruh Gaza,” tegas beliau.
Beliau turut menyatakan bahawa pembebasan awal tahanan Palestin dan tebusan Israel di bawah perjanjian gencatan senjata memberi sinar harapan baharu kepada rakyat yang telah menderita akibat konflik selama dua tahun.
“Perkembangan ini adalah langkah penting ke arah yang betul. WHO bersedia meningkatkan usaha dengan lebih agresif bagi menyelamatkan nyawa dan memulihkan sistem kesihatan Gaza yang lumpuh,” katanya sambil menegaskan bahawa sistem kesihatan di wilayah itu perlu bukan sekadar dipulihkan, tetapi dibina semula agar lebih kukuh, adil dan responsif terhadap keperluan rakyat.
“Ubat terbaik adalah kedamaian,” tambahnya ringkas.
Menurut laporan, fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza mula berkuat kuasa pada Jumaat di bawah pelan yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menamatkan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel sejak Oktober 2023.
Sepanjang dua tahun konflik, hampir 68,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh — kebanyakannya wanita dan kanak-kanak — manakala sebahagian besar wilayah Gaza kini musnah sama sekali dan jutaan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Sumber: TRT World & Agensi Berita Antarabangsa