PalestinSemasa

PBB Kecam Pelan Penempatan Haram Baharu Israel di Tebing Barat

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa pelan terbaharu Israel untuk membangunkan penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki akan memecahbelahkan wilayah itu dan menjejaskan sepenuhnya prospek penyelesaian dua negara.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, menegaskan bahawa semua penempatan Israel di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, “bertentangan dengan undang-undang antarabangsa” dan hanya akan mengukuhkan lagi pendudukan.

Langkah ini, katanya, akan memutuskan hubungan antara utara dan selatan Tebing Barat, sekali gus “mengakhiri prospek penyelesaian dua negara”. Beliau menggesa Israel menghentikan segera projek tersebut.

Di Gaza, Dujarric memetik laporan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) yang merekodkan peningkatan serangan udara dan tembakan Israel di Kota Gaza, Deir al Balah dan Khan Younis dalam dua hari kebelakangan ini.

“Serangan menyasarkan bangunan kediaman dan khemah pelarian, mengakibatkan korban yang tinggi. Dengan 86 peratus kawasan Gaza kini berada di bawah zon tentera atau perintah pemindahan Israel, sebarang kehilangan ruang atau serangan berskala besar akan membawa akibat yang memusnahkan,” katanya.

Beliau turut menegur larangan Israel selama lebih lima bulan terhadap kemasukan bahan perlindungan, menyebabkan ratusan ribu penduduk terdedah kepada panas terik di tengah musim panas. Hampir semua penduduk Gaza dilaporkan kehilangan tempat tinggal sekurang-kurangnya sekali sejak perang bermula.

Sumber – TRT World

Related Articles

Back to top button