
China menuduh Amerika Syarikat (AS) sebagai “sekongkol dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza” dalam laporan tahunan hak asasi manusianya, yang dikeluarkan pada Ahad oleh Pejabat Penerangan Majlis Negara dan disiarkan agensi berita Xinhua.
Laporan 2024 itu mendakwa Washington memberikan sokongan ketenteraan serta diplomatik yang tidak berbelah bahagi kepada Israel, sekali gus menjadikannya “rakan sejenayah” dalam serangan ke atas Gaza sejak Oktober 2023.
“Amerika Syarikat berulang kali menggagalkan usaha antarabangsa untuk mencapai gencatan senjata. Washington telah menggunakan kuasa veto sebanyak tujuh kali di Majlis Keselamatan PBB bagi menyekat resolusi yang menggesa gencatan senjata,” menurut laporan tersebut.
China turut mengecam apa yang digelar sebagai “penggunaan sekatan unilateral berlebihan” oleh AS, yang didakwa menyebabkan krisis kemanusiaan global.
Peperangan Israel ke atas Gaza setakat ini telah meragut hampir 61,900 nyawa rakyat Palestin, selain memusnahkan sebahagian besar wilayah itu dan mendorong penduduknya ke ambang kebuluran, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan. Israel juga kini berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Sumber: TRT Global / AA