PalestinSemasa

Israel Lancar ‘Perangkap Darah Baharu’ untuk Usir Penduduk Palestin dari Kota Gaza

Tentera Israel dilaporkan sedang bersiap sedia untuk melaksanakan pemindahan paksa penduduk Palestin dari Kota Gaza ke bahagian selatan wilayah yang terkepung itu, sekali gus mencetuskan kecaman antarabangsa terhadap rancangan pendudukan semula yang digerakkan oleh kerajaan Benjamin Netanyahu.

Jurucakap tentera, Avichay Adraee, dalam kenyataan berkata Israel akan membenarkan kemasukan khemah dan peralatan perlindungan bagi menempatkan ribuan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang hampir dua tahun. Menurutnya, bekalan itu kononnya akan disalurkan melalui persimpangan Kerem Shalom di bawah pengawasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan antarabangsa selepas pemeriksaan rapi.

Namun begitu, PBB dan pertubuhan bantuan masih belum memberikan sebarang komen rasmi.

Laporan media Israel termasuk Haaretz dan Yedioth Ahronoth mendedahkan bahawa pasukan tentera telah diarahkan bersiap sedia untuk serangan darat berskala penuh di Kota Gaza, walaupun operasi tersebut dijangka tidak akan bermula sebelum September.

Ketua Pejabat Media Kerajaan di Gaza, Ismail Thawbteh, menegaskan tindakan Israel itu merupakan jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva Keempat. Beliau memberi amaran bahawa kawasan khemah yang dicadangkan berisiko menjadi “perangkap darah baharu” seperti yang berlaku di al-Mawasi, Rafah dan Khan Younis, di mana lebih 1.5 juta penduduk Palestin sebelum ini dikepung.

“Pemindahan paksa ini adalah sebahagian daripada dasar sistematik Israel untuk mengosongkan Gaza daripada penduduk asalnya dan menggantikan hak pulang secara sukarela dengan kehidupan terasing di khemah,” katanya kepada Anadolu.

Minggu lalu, Kabinet Keselamatan Israel meluluskan rancangan Netanyahu untuk menduduki semula Gaza sepenuhnya. Pelan itu merangkumi pengambilalihan Kota Gaza dengan memindahkan hampir sejuta penduduk ke selatan, mengepung bandar itu, dan melancarkan serbuan ke kawasan kejiranan.

Fasa kedua rancangan tersebut termasuk serangan ke atas kem pelarian di tengah Gaza, kebanyakannya kini telah menjadi runtuhan akibat serangan terdahulu.

Penganalisis menyifatkan langkah ini sebagai tindakan yang bakal memperburuk krisis kemanusiaan, selain mengundang risiko lebih banyak korban awam.

Sumber : TRT World

Related Articles

Back to top button