SemasaSukan

Mat Korro Benam Petinju Thailand Dengan Pukulan KO, Mara Ke Final MFN Mega 8

Atlet Muay Thai negara, Yuskhairul Yusof atau lebih dikenali sebagai Mat Korro, mencuri perhatian apabila menumbangkan petinju Thailand, Mohama Arsuwan Mamingbakor atau Iwan, melalui pukulan knockout (KO) pada aksi separuh akhir MFN International Mega 8 Pro Muaythai di ibu negara, malam tadi.

Kemenangan bergaya itu bukan sahaja menebus kekalahan beliau kepada lawan sama sebelum ini, malah mengesahkan tiket ke pentas final MFN International Mega 8 yang dijadual berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 6 Disember depan.

Yuskhairul, 39, berkata kelebihan berdepan lawan yang sama buat kali ketiga membantunya membaca gerakan serta menutup ruang kelemahan Iwan dengan lebih berkesan.

“Alhamdulillah, sejak awal saya lihat Iwan agak ragu-ragu untuk mara. Saya cuba lepaskan sepakan, apabila dia cuba cling, saya terus ke depan dan KO setelah pukulan terkena tepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai aksi final menentang bakat muda negara, Ahmad Hafizi Muhlisom, 23, beliau menegaskan fokus utamanya adalah kepada strategi permainan sendiri tanpa memandang rendah kemampuan lawan.

“Selain itu, saya akan menyertai beberapa kejohanan lain menjelang Disember ini. Jadi saya perlu kekal tangkas serta memastikan berada pada tahap terbaik,” tambahnya.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button