
Israel merancang membeli dua kapal tangki pengisian bahan api udara KC-46 buatan Boeing dalam perjanjian bernilai USD500 juta (RM2.35 bilion), yang sepenuhnya dibiayai oleh bantuan ketenteraan Amerika Syarikat (AS).
Kementerian Pertahanan Israel dalam kenyataan semalam berkata kontrak itu akan ditandatangani dengan kerajaan AS selepas mendapat kelulusan jawatankuasa menteri Israel untuk perolehan pertahanan.
Menurut kementerian itu, tentera Israel kini sudah mengendalikan empat kapal tangki KC-46, dan penambahan dua lagi pesawat baharu ini akan mengukuhkan keupayaan strategik jarak jauh mereka.
“Pesawat ini akan membolehkan tentera beroperasi lebih jauh dengan kekuatan dan skop yang lebih besar,” kata Ketua Pengarah Kementerian Pertahanan Israel, Amir Baram.
Israel dilaporkan menggunakan pesawat tangki pengisian bahan api udara tersebut dalam perang udara selama 12 hari menentang Iran pada bulan Jun lalu.
Kementerian itu menegaskan kontrak baharu ini turut melibatkan pemasangan sistem buatan Israel, walaupun butiran lanjut tidak dinyatakan.
“Skop kontrak dianggarkan bernilai setengah bilion dolar AS dan ia dibiayai sepenuhnya melalui bantuan AS,” menurut kenyataan itu lagi.
Washington setiap tahun menyalurkan berbilion dolar kepada Israel untuk membeli senjata dan peralatan ketenteraan Amerika, menjadikannya salah satu penerima bantuan ketenteraan terbesar di dunia.
Namun, kebelakangan ini timbul desakan di Kongres AS daripada sebahagian ahli Demokrat dan Republikan yang mempersoalkan sama ada sokongan ketenteraan tanpa had kepada Israel wajar diteruskan, khususnya selepas laporan mengenai pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Sumber: TRT World & Agensi