
Agenda pemerkasaan sosioekonomi bumiputera yang digariskan menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35) akan terus diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata langkah itu penting bagi memastikan tiada pihak terpinggir dalam pelaksanaan RMK13, di samping memastikan usaha membasmi kemiskinan dilaksanakan tanpa mengira kaum.
“Dari segi prinsip, kerajaan sentiasa memahami perkara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Keutamaan tetap diberikan kepada bumiputera dan perkara itu akan sentiasa dipelihara,” katanya ketika menggulung perbahasan usul RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah, yang juga menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi, berkata isu kemiskinan merentasi bangsa dan agama, justeru kerajaan perlu menangani cabaran tersebut secara menyeluruh.
“Agenda afirmatif bumiputera akan terus dipelihara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, manakala dasar berasaskan keperluan akan diguna pakai bagi menangani kemiskinan semua kaum,” jelasnya.
Beliau menegaskan, kerajaan komited memperkukuh pembangunan menyeluruh berasaskan pelbagai dimensi bagi mewujudkan peluang yang adil dan saksama, sekali gus meningkatkan mobiliti sosial serta kesejahteraan rakyat.
“Usaha ini akan memberi manfaat kepada semua golongan sasar termasuk bumiputera, Orang Asli, anak negeri Sabah, bumiputera Sarawak serta masyarakat India dan Cina,” katanya.
— BERNAMA