PalestinSemasa

Javier Bardem Kecam Tentera Israel, Samakan Tindakan Dengan Nazi

Pelakon Sepanyol yang juga pemenang Oscar, Javier Bardem, lantang mengecam tindakan tentera Israel terhadap rakyat Palestin dengan menyifatkannya sebagai amalan “logik keganasan dan dehumanisasi” ala Nazi.

Dalam hantaran di Instagram, Bardem berkongsi video yang menunjukkan seorang penembak tepat Israel melepaskan tembakan ke arah seorang warga Palestin secara sengaja. Beliau menyamakan perbuatan itu dengan adegan filem Schindler’s List yang memaparkan kebiadaban seorang pegawai Nazi, Amon Goth.

“IDF (Pasukan Pertahanan Israel) adalah NAZIS. Hari ini, logik keganasan dan dehumanisasi yang sama digunakan terhadap rakyat Palestin,” tulis Bardem dalam kapsyen hantaran tersebut.

Video berkenaan dipercayai merujuk kepada insiden pada Disember 2017 apabila seorang lelaki Palestin ditembak di kaki oleh penembak tepat Israel. Walaupun klip itu mula tersebar sejak 2018, ia kembali tular selepas dimuat naik semula oleh Bardem.

Bardem sebelum ini pernah mengkritik keras serangan Israel ke atas Gaza, malah menuduh kerajaan Israel melakukan “jenayah terhadap kemanusiaan.” Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya menuntut pertanggungjawaban terhadap tindakan rejim itu.

Menurut laporan The Guardian bersama dua media Israel-Palestin, lima daripada enam rakyat Palestin yang dibunuh tentera Israel di Gaza dikenal pasti sebagai orang awam berdasarkan data rasmi tentera sendiri.

Sejak 2023, lebih 62,100 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel di Gaza — majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Bardem bukanlah satu-satunya selebriti Hollywood yang mengecam kekejaman Israel. Pada Mei lalu, lebih 380 tokoh termasuk Richard Gere, Susan Sarandon, Mark Ruffalo dan Andrew Garfield menandatangani surat terbuka menggesa gencatan senjata segera serta akses bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Di luar Hollywood, nama besar dunia sukan dan muzik turut bersuara. Bintang bola sepak Liverpool, Mohamed Salah, sebelum ini mendesak gencatan senjata serta mengkritik sikap dingin UEFA terhadap kematian legenda bola sepak Palestin, Suleiman Al-Obeid.

— TRT/Agensi

Related Articles

Back to top button