
Sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin terbunuh, termasuk sembilan penduduk yang sedang mendapatkan bantuan, dalam siri serangan terbaharu tentera Israel di Semenanjung Gaza pada Khamis, menurut pegawai perubatan tempatan.
Antara yang terkorban ialah lima sekeluarga akibat serangan dron di Khan Younis, selatan Gaza. Di tengah Gaza pula, lima orang awam maut apabila tentera Israel membedil kumpulan yang sedang menunggu bantuan berhampiran pusat pengedaran di Jalan Salah al-Din.
Seorang lelaki turut dilaporkan terbunuh ketika menunggu bantuan berhampiran Koridor Netzarim, manakala serangan di kawasan al-Tuffah, Bandar Gaza, meragut dua nyawa dan mencederakan beberapa yang lain.
Di kejiranan Sabra, empat rakyat Palestin terbunuh apabila dron menyasarkan sekumpulan orang awam, manakala lapan yang lain, termasuk kanak-kanak, terbunuh selepas rumah mereka dibedil. Serangan berasingan di Jabalia, Sheikh Radwan dan Rafah turut menyebabkan lebih ramai penduduk terbunuh serta cedera parah.
Hospital Nasser di Khan Younis melaporkan tiga lagi maut di Rafah selepas tentera Israel mengebom kawasan berhampiran pusat bantuan di selatan Gaza. Serangan di Wadi Gaza pula mengorbankan tujuh orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 18 yang lain.
Selain pengeboman, tentera Israel turut meneruskan operasi perobohan di kawasan Zeitoun dan Sabra, lapor agensi berita rasmi Palestin, WAFA.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan dua lagi kematian akibat kebuluran dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikan jumlah korban akibat kekurangan makanan sejak Oktober 2023 mencecah 271 orang, termasuk 112 kanak-kanak.
Sejak Oktober 2023, lebih 62,100 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza. Kempen ketenteraan itu turut memusnahkan sebahagian besar wilayah berkenaan, menyebabkan penduduk berdepan ancaman kebuluran besar-besaran.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebelum ini telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Israel juga sedang berdepan prosiding kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Sumber – AA