PalestinSemasa

Sepanyol Panggil Pulang Duta di Tel Aviv, Tolak Tuduhan ‘Anti-Semitik’ Israel

Sepanyol memanggil pulang duta besarnya di Tel Aviv untuk rundingan selepas menolak tuduhan “anti-Semitik” yang dilemparkan oleh Israel terhadap kerajaan serta rakyatnya.

Langkah itu dibuat hanya beberapa jam selepas Menteri Luar Israel, Gideon Saar, menuduh Madrid bersikap anti-Yahudi susulan keputusan kerajaan Sepanyol memperkenalkan sembilan langkah baharu terhadap Israel berhubung perang di Gaza.

“Kami menolak sekeras-kerasnya tuduhan palsu dan fitnah anti-Semitisme yang dibuat oleh Kerajaan Israel terhadap Sepanyol dan rakyat Sepanyol,” tegas Kementerian Luar Sepanyol dalam kenyataan rasmi pada Isnin.

Sepanyol turut mengutuk tindakan Israel mengenakan larangan masuk terhadap dua anggota kabinetnya – Timbalan Perdana Menteri Yolanda Diaz dan Menteri Belia serta Kanak-kanak, Sira Rago – kerana kritikan keras mereka terhadap pencerobohan Gaza dan Tebing Barat. Madrid menyifatkan langkah Israel itu sebagai “tidak boleh diterima.”

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, mengumumkan larangan kekal eksport senjata ke Israel yang sebelum ini hanya terpakai secara de facto sejak 2023.

Selain itu, kerajaan Sepanyol akan:

  • Melarang kapal yang membawa bahan api kepada tentera Israel berlabuh di pelabuhan Sepanyol.

  • Mengharamkan pesawat membawa barangan pertahanan daripada menggunakan ruang udaranya.

  • Menghentikan import dari penempatan haram Israel di Tebing Barat dan Gaza yang diduduki.

  • Mengehadkan perkhidmatan konsular kepada warga Sepanyol di wilayah pendudukan.

  • Meningkatkan kehadiran di Rafah dengan menghantar tentera tambahan serta projek bantuan makanan dan ubat bersama Pihak Berkuasa Palestin.

Madrid menegaskan semua langkah itu diambil dalam kerangka kedaulatan negara serta selaras dengan prinsip keamanan, hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

Dalam masa sama, kerajaan Sepanyol menafikan dakwaan Israel dan menegaskan komitmennya untuk terus memerangi antisemitisme dan semua bentuk diskriminasi.

Sepanyol juga menegaskan pendiriannya menyokong penyelesaian dua negara, dengan mendesak Israel menamatkan pendudukan di Gaza dan Tebing Barat, menghentikan keganasan terhadap orang awam Palestin serta menghapuskan sekatan kemanusiaan di Gaza.

“Kerajaan Sepanyol tidak akan gentar dalam mempertahankan keamanan, undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia,” tegas kenyataan itu.

Sumber: AA / Reuters

Related Articles

Back to top button