
Ketua Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, mendakwa sistem agihan bantuan ke Gaza kini berada di bawah kawalan tentera upahan, termasuk kumpulan yang digelar sebagai “gangster anti-Muslim.”
Beliau memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 2,000 rakyat Palestin telah terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan berhampiran Yayasan Kemanusiaan Gaza, yang beroperasi sejak 27 Mei lalu.
Menurut Lazzarini, usaha menangani kebuluran di Gaza memerlukan “akses tanpa gangguan, pada skala besar dan dengan jaminan keselamatan” kepada semua penduduk yang memerlukan.
“PBB, termasuk UNRWA dan rakan kongsi, memiliki sumber serta kepakaran. Biarkan kami menjalankan tanggungjawab kami,” tegasnya.
Israel sebelum ini menutup semua lintasan ke Gaza sejak 2 Mac, sekali gus menyekat kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bekalan kemanusiaan. Tindakan itu menyebabkan wilayah berkenaan berdepan kebuluran walaupun ratusan trak bantuan dilaporkan tersadai di sempadan.
Selain itu, Israel turut memperkenalkan saluran agihan alternatif melalui Yayasan Kemanusiaan Gaza yang disokong Amerika Syarikat, namun ditolak oleh PBB dan pihak Palestin yang menyifatkannya sebagai “perangkap maut.”
Sejak Oktober 2023, serangan ketenteraan Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 64,700 nyawa rakyat Palestin dan memusnahkan sebahagian besar wilayah Gaza, yang kini berhadapan krisis kebuluran buatan manusia.
— TRT World







