KesihatanSemasa

Penguatkuasaan larangan merokok dipertingkat – KJ

SHAH ALAM : Operasi pematuhan larangan merokok di tempat awam bakal dikuatkuasa semula ekoran lambakan aduan diterima berkenaan kegiatan merokok di kawasan awam semakin meningkat selepas fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membenarkan semula aktiviti makan di tempat makan awam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan sejak Januari hingga 24 Oktober, sebanyak 3,419 notis kesalahan di tempat makan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 32B, PPKHT 2004.

“Sebanyak 20 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B telah dikeluarkan melibatkan 15 kesalahan merokok di tempat makan dan lima kesalahan dikenakan ke atas Tuan Punya Premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada yang merokok di premis masing-masing.” katanya hari ini.

Khairy menerusi ciapan di Twitter pada Selasa berkata operasi pematuhan larangan tersebut akan diperketat dan pemantauan dijalankan dengan lebih kerap.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa berada di lapangan untuk melaksanakan operasi pematuhan,” katanya.

“Penguatkuasaan larangan merokok sangat penting dalam memastikan negara bersedia untuk beralih ke fasa endemik selaras dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa aktiviti merokok termasuk penggunaan rokok elektronik boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti Covid-19.” ujarnya.

Khairy berkata, pihaknya bertegas melarang merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok serta perokok pasif.

Pada Khamis lalu, Penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan akan ditingkatkan selaras dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

Tambah Khairy, beliau telah mengarahkan pasukan penguat kuasa untuk berbuat demikian pada Rabu.

Sementara itu, pihak KKM akan sentiasa membantu golongan perokok untuk berhenti merokok.

Pendaftaran ke perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang www.jomquit.com

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button