Israel gagal mematuhi tarikh akhir 12 bulan yang ditetapkan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan pendudukan haramnya di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Resolusi bersejarah itu diluluskan pada 18 September 2024 dengan majoriti 124 negara anggota menyokong dan hanya 14 menentang. Ia menuntut agar Israel menamatkan kehadiran yang menyalahi undang-undang di wilayah Palestin yang diduduki selewat-lewatnya setahun selepas ia diterima pakai.
Namun, menurut Misi Palestin ke PBB, Israel bukan sahaja mengingkari resolusi tersebut malah terus memperkukuh pendudukan melalui “pembunuhan beramai-ramai, apartheid dan pembersihan etnik,” sekali gus bertentangan dengan Piagam PBB, undang-undang antarabangsa serta keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
ICJ pada Julai 2024 telah mengeluarkan pendapat nasihat yang menegaskan pendudukan Israel adalah menyalahi undang-undang dan mesti ditamatkan “secepat mungkin.”
Sepanjang tahun lalu, serangan Israel ke atas Gaza telah mengorbankan lebih 65,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak. Wilayah itu kini berdepan kebuluran dan kemusnahan infrastruktur yang meluas.
Di Tebing Barat pula, penempatan haram Israel semakin berkembang di tengah-tengah pemindahan paksa rakyat Palestin, walaupun komuniti antarabangsa berulang kali menegaskan hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
— AA






