PalestinSemasa

Jordan, Sepanyol, PBB Tegas Pertahan UNRWA Daripada Runtuh

Jordan, Sepanyol dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikrar untuk tidak membiarkan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) runtuh meskipun berdepan kekangan kewangan serius serta tekanan politik Israel.

UNRWA, yang beroperasi sejak 1949 selepas peristiwa Nakba, menyalurkan bantuan asas, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perlindungan kepada hampir 5.9 juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Lubnan, Syria dan Jordan. Namun, ia kini berdepan krisis kewangan terbesar apabila Amerika Syarikat dan beberapa negara lain menghentikan pembiayaan, manakala Israel pula menghalang operasinya di Gaza.

Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares Bueno menegaskan bahawa “tiada alternatif kepada UNRWA” kerana agensi itu adalah tonggak utama kestabilan serantau.

“UNRWA adalah pemboleh utama kestabilan global. Sepanyol tidak akan berdiam diri terhadap penderitaan rakyat Palestin. Sokongan kami kepada UNRWA adalah tidak berbelah bagi,” katanya selepas menghadiri mesyuarat peringkat menteri yang dipengerusikan bersama Jordan, Sepanyol dan Brazil di luar Perhimpunan Agung PBB.

Bueno turut mengumumkan bahawa sumbangan Sepanyol kepada UNRWA sejak 2023 telah melebihi €60 juta, dengan tambahan €10 juta baru diumumkan. Jumlah ini dijangka mencecah €150 juta menjelang 2026.

Timbalan Perdana Menteri Jordan merangkap Menteri Luar Negeri, Ayman Safadi pula menekankan bahawa peranan UNRWA telah lama menjadi harapan bagi rakyat Palestin, termasuk lebih 600,000 kanak-kanak yang mendapat pendidikan di bawah agensi itu.

“Sebelum genosid di Gaza bermula, sebelum Israel memusnahkan sekolah-sekolah dan menguburkan kanak-kanak di bawah runtuhan rumah mereka, UNRWA telah ada — membawa harapan, pendidikan dan sokongan. UNRWA mesti kekal di sana,” katanya.

Namun beliau memberi amaran bahawa dana UNRWA semakin susut, lebih 300 kakitangannya terbunuh akibat serangan Israel, dan ramai lagi kini diburu, menjadikan sokongan antarabangsa semakin mendesak.

Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini pula mendedahkan keadaan kemanusiaan di Gaza kini amat parah sehingga rakyat Palestin hanya “bermimpi untuk mati dengan sempurna”. Beliau menyatakan jumlah amputasi kanak-kanak di Gaza kini tertinggi di dunia, kebanyakannya dilakukan tanpa prosedur pensterilan.

Beliau menegaskan sekurang-kurangnya AS$200 juta diperlukan segera untuk meneruskan operasi asas UNRWA, sambil memberi amaran bahawa tanpa dana ini, operasi penting seperti pengagihan makanan, rawatan kesihatan dan pendidikan akan lumpuh sepenuhnya.

PBB dijangka mengundi pada awal Disember ini bagi memperbaharui mandat tiga tahun UNRWA, yang menjadi penentu masa depan agensi tersebut di tengah-tengah krisis kemanusiaan Gaza yang semakin buruk.

— TRT World

Related Articles

Back to top button