PalestinSemasa

Tahanan Palestin di penjara Ofer hadapi penderaan serius dan keadaan hidup ‘malapetaka’

Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin mendedahkan bahawa tahanan Palestin di kem Gilad, penjara tentera Ofer Israel berhampiran Ramallah di Tebing Barat yang diduduki, sedang berdepan keadaan hidup yang amat teruk serta penderaan sistematik yang disifatkan sebagai “malapetaka”.

Dalam kenyataan pada Ahad, suruhanjaya itu memetik laporan seorang peguam yang melawat kem berkenaan, menyatakan bahawa antara 100 hingga 120 tahanan ditempatkan dalam 12 bilik sempit dengan keadaan kebersihan yang menjijikkan dan kekurangan asas keperluan harian.

Menurut laporan tersebut, pihak pentadbiran penjara mengenakan hukuman kejam termasuk kurungan bersendirian, pukulan fizikal, dan renjatan elektrik terhadap tahanan. Banduan dilaporkan dibelenggu, ditutup matanya, dan dipaksa berjalan tunduk ke tanah ketika lawatan dilakukan.

Pakaian dan keperluan asas turut tidak mencukupi. Baju dan pakaian dalam hanya ditukar sekali seminggu, manakala seluar hanya diganti apabila koyak. Akibatnya, ramai tahanan terpaksa memakai pakaian sama selama berbulan-bulan.

Keadaan kebersihan juga amat menyedihkan. Tahanan terpaksa mandi di luar bilik menggunakan air sejuk dan cecair pencuci menggantikan sabun atau syampu, dengan masa rehat mandi tidak melebihi 20 minit setiap seorang.

Dari segi makanan, mereka hanya diberikan roti dan yogurt hampir setiap hari, sementara tuna atau sosej dihidangkan sekali seminggu. Katil logam yang disediakan pula dilapisi tilam nipis, dan setiap tahanan hanya menerima satu selimut dan tuala yang jarang diganti, malah sering tidak bersih. Kekurangan ruang menyebabkan sebahagian tahanan tidur di atas lantai.

Kedinginan melampau turut melanda kem kerana tingkap berpalang besi dibiarkan terbuka, membolehkan angin dan hujan masuk. Keadaan ini menambah penderitaan ketika musim sejuk.

Menurut laporan itu lagi, serbuan ke atas bilik tahanan dilakukan hampir setiap hari, dan hukuman dikenakan atas alasan remeh atau tanpa sebab yang jelas. Setiap hari, tahanan juga dipaksa berlutut empat kali semasa sesi pemeriksaan harian.

Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Israel berhubung dakwaan ini.

Lebih 10,000 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, kini ditahan di penjara Israel. Menurut organisasi hak asasi manusia Israel dan Palestin, ramai antara mereka menjadi mangsa penyeksaan, kelaparan, dan pengabaian perubatan, yang telah mengorbankan nyawa sejumlah tahanan.

Sumber: Anadolu Agency

Related Articles

Back to top button