PalestinSemasa

Persekutuan Bola Sepak Ireland gesa UEFA gantung penyertaan Israel daripada pertandingan Eropah

Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI) meluluskan usul bagi mendesak Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) menggantung penyertaan pasukan kebangsaan dan kelab Israel daripada semua pertandingan kelab dan antarabangsa Eropah, susulan pelanggaran berterusan undang-undang antarabangsa oleh rejim Zionis di wilayah Palestin yang diduduki.

Usul itu dibentangkan oleh kelab Bohemians yang berpangkalan di Dublin dan disokong dengan undian majoriti 74 berbalas tujuh, manakala dua perwakilan berkecuali. Dalam kenyataan rasmi, FAI memaklumkan bahawa pihaknya akan menyerahkan usul berkenaan kepada jawatankuasa eksekutif UEFA untuk tindakan lanjut, termasuk menggantung segera Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) daripada sebarang pertandingan di bawah badan induk itu.

Menurut FAI, dua pelanggaran utama statut UEFA menjadi asas kepada tuntutan tersebut, iaitu penglibatan kelab Israel yang berpangkalan di penempatan haram di Tebing Barat tanpa kebenaran Persatuan Bola Sepak Palestin, serta kegagalan IFA melaksanakan dasar anti-perkauman secara berkesan.

Langkah itu menerima reaksi bercampur-baur di peringkat antarabangsa. Bohemians dalam satu kenyataan menyatakan mereka “berbangga menjadi suara solidariti terhadap keadilan untuk Palestin” dan berterima kasih kepada semua ahli yang menyokong usul tersebut. Namun, Senator Amerika Syarikat Lindsey Graham mengkritik keputusan itu, mendakwa ia “menghukum orang Yahudi” secara kolektif.

Sebelum ini, beberapa pemimpin bola sepak di Turki dan Norway turut menyeru supaya Israel digantung daripada pertandingan antarabangsa, terutama selepas insiden pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang mengorbankan ribuan orang awam Palestin.

Israel kini bertanding di bawah zon Eropah FIFA, selepas disingkirkan daripada Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) pada 1974 berikutan usul Kuwait yang memboikot perlawanan melibatkan Israel sebagai protes terhadap pendudukan Palestin.

Sumber: TRT World & Agencies

Related Articles

Back to top button