PalestinSemasa

Israel bunuh dua rakyat Palestin di Gaza, cederakan 10 dalam pelanggaran terbaharu gencatan senjata

Dua rakyat Palestin terbunuh dan 10 lagi cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan serta melancarkan serangan dron di Gaza, sekali lagi mencabuli perjanjian gencatan senjata yang sepatutnya menjamin keselamatan orang awam.

Dalam kenyataannya, tentera Israel mendakwa dua lelaki yang ditembak mati itu kononnya cuba melepasi garisan kuning, iaitu kawasan pemisah antara zon kawalan tentera dan kawasan pergerakan awam yang dibenarkan di bawah perjanjian gencatan senjata. Tentera Israel sebelum ini kerap menggunakan alasan mendekati garisan tersebut untuk menembak warga Palestin, walaupun mereka tidak melintasinya.

Di kawasan Daraj di tengah Bandar Gaza, Pertahanan Awam Gaza melaporkan serangan lebih serius apabila sebuah dron Israel menggugurkan dua bom berhampiran sebuah sekolah dan pusat perlindungan. Jurucakap Mahmoud Basal berkata serangan itu mencederakan 10 orang termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas. Salah seorang kanak-kanak dilaporkan dalam keadaan kritikal dan semua mangsa dibawa ke Hospital Ahli Baptist untuk rawatan segera.

Basal menegaskan bahawa sekolah dan pusat perlindungan tersebut terletak di kawasan yang ditandai sebagai zon selamat di bawah perjanjian gencatan senjata, menjadikan serangan itu satu lagi pelanggaran jelas terhadap persetujuan yang dimeterai pada 10 Oktober.

Sejak Israel melancarkan serangan besar-besaran pada Oktober 2023, Gaza telah hancur menjadi runtuhan, dengan lebih 69,000 rakyat Palestin terbunuh, majoritinya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 170,000 lagi cedera. Walaupun gencatan senjata yang kini berkuat kuasa sepatutnya menghentikan serangan ke atas orang awam, insiden terbaru ini menunjukkan pelanggaran masih berlaku secara berterusan.

Sumber: AA

Related Articles

Back to top button