Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan dasar baharu yang membolehkan Nvidia menghantar cip kecerdasan buatan H200 kepada pelanggan China yang diluluskan, dengan syarat mereka membayar yuran 25 peratus kepada Washington. Langkah itu menandakan perubahan besar daripada kawalan eksport ketat era Biden yang sebelum ini mengehadkan penghantaran cip berprestasi tinggi ke China.
Trump berkata beliau telah memaklumkan perubahan dasar itu kepada Presiden China Xi Jinping dan menerima reaksi positif. Menurutnya, bayaran mandatori 25 peratus akan menyokong pekerjaan di Amerika, mengukuhkan sektor pembuatan domestik dan memberi manfaat kepada pembayar cukai.
Trump turut menyindir dasar pentadbiran terdahulu yang memaksa syarikat cip menghasilkan versi cip yang ‘diturunkan kualitinya’ untuk pasaran China, yang menurutnya melambatkan inovasi dan menjejaskan industri semikonduktor Amerika. Namun beliau menegaskan bahawa cip paling maju seperti siri Blackwell dan seni bina Rubin tidak termasuk dalam kelonggaran baharu ini.
Jabatan Perdagangan Amerika kini sedang memuktamadkan rangka kerja kelulusan eksport, yang turut akan digunapakai untuk syarikat seperti AMD, Intel dan pengeluar semikonduktor utama lain. Bagaimanapun, Trump tidak menyatakan syarikat China mana yang akan layak sebagai pelanggan diluluskan atau bila dasar itu akan dikuatkuasakan.
Cip H200 dikategorikan jauh lebih berkuasa berbanding cip H20 yang direka khas untuk eksport ke China, tetapi ia bukan lagi cip paling terkini sejak Nvidia melancarkan siri Blackwell. Saham Nvidia melonjak hampir dua peratus selepas laporan awal mengenai kelonggaran dasar ini.
Walaupun dasar baharu itu membuka ruang kepada transaksi lebih besar ke pasaran China, ia masih berdepan tentangan Kongres AS dan kemungkinan sekatan daripada pihak berkuasa China yang mengawal ketat import teknologi strategik negara itu.
Sumber: TRT World & Agencies






