
Komuniti antarabangsa bangkit menyuarakan kemarahan dan mengutuk keras tindakan rejim Israel susulan penularan klip video membabitkan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap ratusan aktivis kemanusiaan antarabangsa. Siasatan mendedahkan para tahanan dipaksa berlutut dengan tangan terikat serta dahi menyembah lantai.
Susulan tindakan biadab itu, beberapa buah negara utama di Eropah dan Amerika Utara bertindak memanggil duta serta utusan diplomatik Israel ke negara masing-masing bagi menuntut penjelasan rasmi atas perbuatan yang disifatkan sebagai “barbar, kejam, dan mencabuli maruah kemanusiaan.”
Gelombang kecaman ini tercetus selepas Menteri Keselamatan Negara Israel yang berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir, dengan angkuh memuat naik rakaman video provokatif tersebut di akaun X miliknya dengan nota “Selamat datang ke Israel.” Rakaman itu memaparkan puluhan aktivis Global Sumud Flotilla ditahan di atas dek kapal tentera sambil lagu kebangsaan Israel dimainkan.
Reaksi Keras Negara-Negara Dunia
Tindakan provokasi melampau menteri rejim Zionis itu mendapat tentangan hebat daripada pelbagai kerajaan:
-
Türkiye: Kementerian Luar Turki menyifatkan tindakan itu sebagai “biadab dan ganas.” Ankara menegaskan bahawa menteri terbabit merupakan salah seorang pelaku utama pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang kini sekali lagi memamerkan mentaliti sebenar kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu.
-
Sepanyol & Portugal: Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares, melabelkan layanan tersebut sebagai “raksasa, tidak berperikemanusiaan, dan memalukan.” Manakala Portugal menyifatkannya sebagai “pencabulan maruah manusia yang sama sekali tidak boleh ditoleransi.”
-
United Kingdom & Ireland: Setiausaha Luar UK, Yvette Cooper, menyatakan beliau “amat terkilan” dengan video tersebut. Sementara itu, Perdana Menteri Ireland (Taoiseach), Micheal Martin, menegaskan kelakuan Israel adalah pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan beliau akan membawa isu ini ke peringkat tertinggi Kesatuan Eropah (EU).
-
Belgium, Perancis, Jerman & Belanda: Kesemua negara ini bertindak memanggil duta atau wakil diplomatik Israel bagi menyatakan bantahan rasmi mereka. Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot, menyifatkan tindakan menyiarkan pengaibkan para tahanan di media sosial sebagai “sesuatu yang amat membimbangkan dan tidak boleh diterima.”
-
Kanada: Menteri Luarnya, Anita Anand, mengesahkan pihaknya telah mengarahkan pegawai diplomatik untuk memanggil Duta Israel ke Ottawa berikutan penganiayaan melampau terhadap orang awam di atas kapal bantuan tersebut.
-
Greece & Slovenia: Kedua-dua negara turut mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam tindakan mengejek serta membuli para aktivis kemanusiaan yang ditahan secara haram itu.
Hamas: Bukti Kepincangan Moral Rejim Zionis
Pergerakan perjuangan Palestin, Hamas, turut mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk sekeras-kerasnya rakaman yang disiarkan oleh Ben-Gvir tersebut.
“Kami di dalam pergerakan Hamas menegaskan bahawa adegan penyeksaan dan penghinaan yang direncanakan oleh menteri Zionis yang fasis dan penjenayah ini adalah bukti nyata kepada kepincangan moral serta sifat sadisme yang menguasai mentaliti para pemimpin entiti musuh,” tegas kenyataan itu.
Global Sumud Flotilla yang terdiri daripada 54 buah bot itu dilaporkan telah dipintas secara haram oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa baru-baru ini. Misi yang berlepas dari daerah Marmaris, Turki itu membawa 428 orang peserta dari 44 buah negara dalam usaha murni untuk menghantar bantuan makanan dan perubatan ke Gaza bagi menembus sekatan zalim Israel sejak 2007. — Anadolu Agency (AA)







