
Kerajaan menegaskan bahawa tiada sebarang elemen konflik kepentingan dalam penganugerahan kontrak pembangunan platform digital THiJARI bernilai RM4.53 juta kepada syarikat Cyber Village Sdn Bhd pada tahun 2019, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Beliau menjelaskan bahawa kontrak berkenaan telah dianugerahkan secara telus menerusi proses tender terbuka yang melibatkan penyertaan sebanyak enam vendor, selaras dengan peraturan perolehan yang ditetapkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
“Dalam hal ini, tiada konflik kepentingan dalam penganugerahan kontrak kepada syarikat Cyber Village Sdn Bhd kerana pemilik atau pengarah syarikat tersebut tidak mempunyai sebarang hubung kait dengan kepimpinan TH, selain terpilih menerusi proses tender dengan tawaran kos projek yang paling kompetitif,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Zulkifli berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang ingin mengetahui sama ada pihak TH telah menjalankan semakan konflik berkepentingan berhubung penganugerahan kontrak tersebut, serta sama ada hasil semakan itu pernah diaudit atau dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa semakan terperinci terhadap profil pegangan syarikat turut dilaksanakan sepanjang proses perolehan bagi mengelakkan berlakunya sebarang konflik kepentingan.
Menurut beliau, kontrak bagi membangunkan sistem THiJARI itu dianugerahkan kepada Cyber Village berdasarkan penilaian kriteria teknikal dan merit yang memenuhi keperluan TH, di samping menawarkan kos projek yang paling kompetitif berbanding pembida lain.
Untuk rekod, platform THiJARI dibangunkan selaras dengan inisiatif berterusan TH untuk menambah baik kecekapan penyampaian perkhidmatan menerusi aplikasi digital dan platform dalam talian, yang telah pun dimanfaatkan oleh majoriti pendeposit sejak tahun 2020.
Sumber: BERNAMA







