EkonomiSemasa

Anwar Sampaikan Kenyataan Negara Pada Mesyuarat Pemimpin APEC, Adakan Pertemuan Perniagaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33 hari ini, yang menjadi platform utama kepada para pemimpin membincangkan keutamaan ekonomi serantau serta memperkukuh kerjasama dalam mendepani cabaran global.

Anwar akan menghadiri mesyuarat berprestij itu di Pusat Komunikasi Antarabangsa Shenzhen (SICC), dengan setiap ekonomi peserta diperuntukkan masa selama lima minit bagi menyampaikan Kenyataan Negara masing-masing.

Bagaimanapun, giliran penyampaian kenyataan bagi setiap negara masih belum diumumkan secara rasmi oleh pihak penganjur.

Mesyuarat berkenaan menyediakan ruang strategik kepada para pemimpin untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi serantau, memperkukuh integrasi ekonomi serta memperluas jaringan kerjasama dalam kalangan 21 ekonomi anggota APEC.

Penyertaan Anwar mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, memperkukuh kesalinghubungan serantau serta meningkatkan kerjasama bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi global semasa.

Pada sebelah petang pula, beliau turut dijadualkan mengadakan beberapa siri pertemuan perniagaan secara bersemuka dengan wakil syarikat-syarikat utama, antaranya Yinson Holdings Bhd, Mayland Group dan Boeing.

Sesi pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan pelaburan dua hala serta meneroka peluang kerjasama baharu dalam sektor-sektor strategik.

Anwar juga dijadualkan mengadakan sidang media pada petang ini bagi mengulas lanjut mengenai penyertaan beliau dalam mesyuarat berkenaan serta hasil perbincangan sepanjang sidang APEC.

Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 ini menzahirkan komitmen teguh negara terhadap dialog serantau, kerjasama ekonomi dan pengukuhan hubungan strategik dalam menghadapi landskap ekonomi global yang semakin kompleks.

Mesyuarat tahunan itu berlangsung di Shenzhen, China, dengan Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC sejak penubuhan forum berkenaan pada tahun 1989.

Untuk rekod, APEC ialah sebuah forum antara kerajaan yang dianggotai oleh 21 ekonomi di Lingkaran Pasifik, bertujuan menggalakkan perdagangan dan pelaburan bebas serta terbuka di rantau Asia Pasifik. Forum tersebut mewakili kira-kira tiga bilion penduduk dan menyumbang sebanyak 61.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global pada tahun 2025.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button