PendidikanSemasa

Pelajar Maut di Sekolah: KPM Tidak Kompromi Jika Ada Kecuaian, Mohon Ruang Siasatan – Fadhlina

Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya hasil siasatan mendapati wujud elemen kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan berhubung insiden kematian seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar, semalam.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata beliau memandang amat serius kejadian tragis tersebut dan telah mengarahkan KPM memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus.

“Saya menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa. Berikan ruang secukupnya kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.

“Semoga keluarga mangsa terus diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya lewat malam tadi.

Beliau memaklumkan bahawa perbincangan segera telah diadakan bersama pihak berkaitan, manakala Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak serta Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh turut bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelaras tindakan susulan.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian juga disahkan berada dalam keadaan berfungsi dengan baik dan rakaman berkenaan telah pun diserahkan kepada pihak polis bagi membantu proses siasatan.

Sementara itu, Fadhlina berkata beberapa pentadbir dan guru di sekolah terbabit telah diberikan pelepasan tugas buat sementara waktu bagi melancarkan siasatan pihak berkuasa.

“Saya turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah esok (hari ini) bagi meneliti aspek pengurusan serta pematuhan tatacara keselamatan di sekolah berkenaan.

“Bagi menjaga kesejahteraan emosi dan kebajikan warga sekolah, murid-murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan akan dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing pada Jumaat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan memaklumkan bahawa bantuan sokongan psikososial telah digerakkan kepada semua pihak yang terkesan akibat insiden berkenaan.

Semalam, JPN Perak mengesahkan seorang murid tingkatan tiga ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di negeri itu.

Jenazah pelajar berkenaan telah dihantar ke Hospital Taiping dan dijadualkan menjalani proses bedah siasat pada pukul 9 pagi ini.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button