Lapan lagi rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, terkorban dalam siri serangan kejam terbaharu tentera Israel di Semenanjung Gaza, membelakangkan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai sejak Oktober tahun lalu.
Menurut laporan petugas perubatan pada Ahad, mangsa kanak-kanak yang dikenali sebagai Tala Abu Mata, 9 tahun, maut selepas bedilan meriam tentera Israel menyasarkan sebuah khemah perlindungan di timur kem pelarian Bureij, tengah Gaza.
Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan empat lagi warga Palestin terkorban dalam serangan udara berasingan yang menyasarkan sebuah bengkel di daerah Sabra, selatan Bandar Gaza.
Pertubuhan itu dalam satu kenyataan mendedahkan bahawa impak letupan kuat tersebut menyebabkan mayat para mangsa berkecai, selain mencederakan seorang lagi penduduk di kawasan terbabit.
Saksi di tempat kejadian memaklumkan sebuah dron milik rejim Israel telah melepaskan sekurang-kurangnya tiga butir peluru berpandu ke arah bangunan yang menempatkan bengkel berkenaan di kejiranan Al-Rayes.
Dalam perkembangan sama, sumber perubatan mengesahkan seorang lelaki Palestin meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam insiden tembakan oleh tentera Israel di timur kem pelarian Bureij pada Jumaat lalu. Seorang lagi mangsa turut dilaporkan maut akibat serangan dron rejim di timur Khan Younis, selatan Gaza.
Pada masa yang sama, saksi melaporkan bahawa tentera Israel terus memperluaskan operasi merobohkan rumah dan struktur bangunan milik penduduk Palestin di kawasan di bawah kawalan mereka di selatan Khan Younis dan timur Bandar Gaza. Beberapa siri letupan kuat dilaporkan kedengaran impak daripada operasi perobohan tersebut, namun tiada kecederaan baharu dilaporkan.
Kementerian Kesihatan Gaza mendedahkan bahawa sejak perjanjian gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, tindakan agresif Israel yang terus mencabuli ketetapan tersebut telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,098 rakyat Palestin dan mencederakan 3,535 yang lain.
Secara keseluruhan, kempen pembunuhan beramai-ramai (genosid) oleh Israel di wilayah enklaf itu sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 73,000 nyawa rakyat Palestin, mencederakan lebih 173,000 orang, serta mengakibatkan kemusnahan teruk yang menjejaskan hampir 90 peratus infrastruktur awam.
SUMBER: TRT World / Agensi Anadolu (AA)






