
Ahli-ahli Eropah dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengutuk peningkatan mendadak keganasan peneroka Israel terhadap rakyat Palestin, dengan menyifatkannya sebagai yang paling teruk pernah direkodkan di Tebing Barat yang diduduki dan Baitulmaqdis Timur. Kecaman itu dibuat susulan laporan lebih 260 serangan peneroka haram dalam tempoh sebulan, yang disifatkan menghalang usaha keamanan dan memburukkan ketidakstabilan di wilayah berkenaan.
Bercakap bagi pihak kumpulan E5 yang terdiri daripada Denmark, Perancis, Greece, Slovenia dan United Kingdom, Duta Besar Britain ke PBB, James Kariuki, berkata Majlis Keselamatan akan bermesyuarat bagi membincangkan pelaksanaan Resolusi 2334 yang secara jelas mengutuk aktiviti penempatan haram serta menuntut Israel menghormati kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa. Beliau memberi amaran bahawa dasar berterusan kerajaan Israel bercanggah dengan resolusi tersebut dan berisiko menjejaskan prospek penyelesaian dua negara serta keselamatan jangka panjang di rantau itu.
Menurut Kariuki, data daripada Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB menunjukkan lebih 260 serangan terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka direkodkan pada Oktober sahaja. Beliau menegaskan serangan-serangan ini menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang awam, menghalang proses damai dan turut mengancam keselamatan Israel sendiri, sambil menggesa Israel melindungi penduduk Palestin di wilayah yang diduduki.
Kumpulan E5 turut mengulangi pendirian tegas menentang sebarang bentuk pengilhakan dan dasar penempatan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk peruntukan dana untuk penempatan haram, pengusiran paksa rakyat Palestin di Baitulmaqdis Timur, kelulusan pelan penempatan E1 serta pembinaan ribuan unit perumahan baharu yang disifatkan berisiko mencetuskan ketidakstabilan dan melemahkan daya maju penyelesaian dua negara. Mereka juga menegaskan keperluan mengekalkan dan menghormati status quo di tempat-tempat suci Baitulmaqdis.
Selain itu, Kariuki menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan pihak berkuasa Israel memasuki kompleks Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Baitulmaqdis Timur tanpa kebenaran, sambil menekankan status tidak boleh dicabul premis PBB di bawah undang-undang antarabangsa. Beliau turut mengkritik langkah ekonomi Israel termasuk penahanan hasil cukai Palestin, ancaman terhadap hubungan perbankan koresponden dan had pemindahan shekel yang disifatkan berisiko mencetuskan keruntuhan kewangan di Tebing Barat serta melemahkan keupayaan Pihak Berkuasa Palestin menyampaikan perkhidmatan asas.
Sumber: Agensi Anadolu







